PETALING JAYA: Kemenangan besar 4-0 ke atas Cebu FC tidak memberi sebarang makna buat Selangor FC selepas tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).
Red Giants tersingkir selepas Muangthong United berjaya mengalahkan Jeonbuk Hyundai Motors 1-0 di Stadium Rajamangala, Bangkok untuk merebut slot ke pusingan 16.
Dalam aksi di Stadium Rizal Memorial, Manila, sebentar tadi, Selangor yang turun dengan misi wajib menang mendahului Cebu menerusi jaringan Yohandry Orozco pada pada minit ke-44.
Bersambung babak kedua, Selangor hanya memerukan tiga minit untuk menambah jaringan sekali lagi menerusi Orozco sebelum Nooa Laine menyumbang gol ketiga pada minit ke-56.
Alvin Fortes kemudian melengkapkan kemenangan bergaya skuad kendalian Katsuhito Kinoshi ke atas wakil FIlipina itu apabila meledak gol keempat pada minit ke-79.
Untuk rekod, ini kemenangan pertama Kinoshi sebagai ketua jurulatih Selangor selepas tewas kepada Muangthong United dalam saingan ACL2 dan Sri Pahang FC dalam kempen Piala Malaysia.
Biarpun meraih kemenangan, Selangor pulang hampa kerana tersingkir di peringkat kumpulan ACL2 selain tersingkir awal dari Piala Malaysia selepas tewas dengan agregat 2-3 kepada Sri Pahang di pusingan 16.
Jeonbuk muncul juara Kumpulan H dengan 12 mata, satu mata mengatasi Muangthong United di kedudukan kedua, manakala Selangor dikedudukan ketiga dengan 10 mata.- UTUSAN