Bunuh pelajar kolej vokasional: Seluar, baju mangsa ada spesimen darah

Sains

TAWAU – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu baju lengan panjang, seluar panjang dan kad fast track analysis (FTA) milik pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan yang ditemukan mati di kolej itu mengandungi spesimen darah mangsa.

Sebanyak 90 ekshibit dikemukakan kepada mahkamah pada perbicaraan kes itu hari ini antaranya tuala, selimut, stokin, potongan tilam, sampel kuku, darah, rambut, kabel pengecas telefon dan putik kapas.

Turut dikemukakan baju, seluar serta kad FTA mengandungi spesimen 13 tertuduh.

Pada prosiding di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol, Pegawai Sains Jabatan Kimia Malaysia Hamidah Naim Muhamad Rizam yang membuat analisis ekshibit-ekshibit itu turut mengecam barang kes tersebut.

“Saya camkan dari pelekat makmal yang telah dilekat pada ekshibit dan ditandatangani oleh saya,” kata saksi pendakwaan ke-21 itu pada pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif.

Seramai 13 pelajar kolej itu berusia antara 16 hingga 19 tahun didakwa secara bersama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat, 17, di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam, 21 Mac lepas hingga 7.38 pagi, 22 Mac lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, saksi pendakwaan ke-20 iaitu seorang pelajar di kolej itu berkata dia melihat tertuduh ketujuh menyertai pergaduhan dengan Mohamad Nazmie Aizzat.

“Orang yang dipukul mereka adalah Ijat (Mohamad Nazmie Aizzat) Saya nampak tertuduh ketujuh menumbuk dan menendang badan Ijat, turut dilihat memukul mangsa tertuduh ketiga serta ke-10,” katanya pada pemeriksaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Batrisyia Mohd Khusri.

Pendakwaan turut dikendalikan bersama Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao.

Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Chen Wen Jye manakala lima lagi tertuduh diwakili peguam Mohamad Zairi Zainal Abidin, Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhesseny P Kang dan Kusni Ambotuwo.

Perbicaraan bersambung esok. – Bernama