BANGI: Program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) masih kekal relevan sehingga kini apabila berjaya melahirkan 10,000 graduan pelbagai bidang kemahiran di seluruh negara.
Presiden Persatuan SLDN Malaysia, Datuk Joyah Rashid berkata, program ini harus diteruskan kerana ia memberi manfaat kepada pekerja dan pemilik industri memperoleh sijil kemahiran yang diiktiraf.
Beliau berkata, pihaknya telah mengendalikan 10 sesi Konvokesyen membabitkan 10,000 graduan dalam 20 bidang kemahiran.
“Jadi kalau industri, kita ada bidang yang khusus tak kira pelbagai bidang. Kita ada 20 bidang. Sebut saja bidang apa? Perkapalan, automotif dan kecantikan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen Ke-10 Persatuan Pusat Bertauliah SLDN di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini semalam.
Majlis penyampaian sijil kepada 1,000 graduan itu disempurnakan Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.
Konvokesyen kali ini melibatkan 41 pusat bertauliah SLDN yang berdaftar di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran dengan kerjasama Persatuan Alumni belia 4B Malaysia, Jabatan Pembangunan Kemahiran dan Jabatan SLDN Malaysia.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, Kerajaan Perpaduan ketika ini bersungguh-sungguh mengangkat bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai persediaan masa depan negara.
“TVET telah melangkah ke dunia yang lebih besar seperti pembinaan, kejuruteraan, selenggara kapal terbang, aerodinamik dan juga menjadi bidang kimpalan.
“Kerajaan sentiasa berusaha memastikan bukan hanya yang mempunyai kelulusan akademik diberi perhatian sebaliknya turut menyiapkan anak-anak dalam bidang kemahiran tinggi,” katanya.
Persatuan SLDN Malaysia ditubuhkan atas dasar untuk menggabungkan pusat-pusat kemahiran di bawah satu payung ke arah mencapai matlamat untuk membangunkan pendidikan kemahiran usahawan sama ada bertaraf ilmiah atau kemahiran. – UTUSAN