Cukai anda, masa depan kita

Pendidikan

Cukai ialah sumber utama pendapatan negara. Ia memainkan peranan penting dalam memastikan Malaysia terus berkembang sebagai sebuah negara yang makmur dan progresif. Namun, perkara ini hanya boleh dicapai jika setiap rakyat menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pembayar cukai.

Mengapa Cukai Sangat Penting?

Sebagai nadi kepada ekonomi negara, hasil daripada kutipan cukai digunakan untuk menyokong pelbagai sektor utama seperti pendidikan, kesihatan, keselamatan dan pembangunan infrastruktur.

Apabila anda membayar cukai, anda bukan hanya menunaikan tanggungjawab anda tetapi turut menyumbang kepada pembangunan negara. Anda melabur dalam masa depan Malaysia – masa depan untuk generasi akan datang.

Kepatuhan Cukai: Tanggungjawab Bersama

Salah satu tunjang utama kepada kejayaan sistem percukaian negara ialah kepatuhan cukai. Setiap individu dan perniagaan bertanggungjawab melaporkan pendapatan mereka dengan jujur dan membayar jumlah cukai yang sewajarnya.

Kegagalan melakukannya bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi turut menjejaskan usaha kerajaan untuk memastikan pembangunan negara dapat dilaksanakan dengan lancar.

Selain daripada itu, kepatuhan cukai merangkumi kejujuran dalam melaporkan pendapatan, mengelak daripada amalan pengelakan cukai dan tidak terlibat dalam penipuan cukai.

Tindakan tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja membawa kesan buruk kepada ekonomi negara tetapi juga merosakkan asas kepercayaan dalam sistem percukaian.

Untuk memupuk kepatuhan cukai secara sukarela, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) mengambil pendekatan Kesedaran, Pendidikan dan Perkhidmatan (A.E.S).

Pendekatan ini bertujuan mendekati pelbagai kumpulan sasaran, termasuk pembayar cukai sedia ada, bakal pembayar cukai, serta individu atau perniagaan yang masih belum berada dalam sistem cukai.

HASiL Mempermudah Urusan Cukai Anda

HASiL komited untuk memastikan setiap rakyat dapat menunaikan tanggungjawab cukai mereka dengan mudah dan lancar. Bermula 1 Januari 2024, semua urusan cukai dilakukan sepenuhnya melalui platform digital, Portal MyTax.

Melalui portal ini, anda boleh mengakses maklumat cukai, melaporkan pendapatan dan membuat pembayaran secara dalam talian – semuanya hanya dengan beberapa klik sahaja.

Penggunaan e-Perkhidmatan diwajibkan sepenuhnya mulai 1 Januari 2024 menerusi Portal MyTax (

Selain itu, HASiL turut memperkenalkan pelbagai program pendidikan dan kesedaran cukai seperti HASiL Your Tax Buddy dan Program Sahabat HASiL. Program-program ini direka khas untuk mendidik golongan muda, termasuk pelajar sekolah dan universiti, tentang tanggungjawab cukai mereka.

HASiL juga menjalankan seminar dan bengkel dengan kerjasama agensi profesional seperti Chartered Tax Institute Of Malaysia (CTIM), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan firma-firma percukaian terkemuka bagi memastikan maklumat yang disampaikan adalah tepat dan komprehensif.

Di era digital ini, HASiL turut memanfaatkan platform media sosial dan EduZone, satu platform pendidikan yang boleh diakses melalui www.hasil.gov.my untuk membantu masyarakat memahami sistem percukaian negara.

Transformasi Digital dengan e-Invois

Selain itu, HASiL juga melaksanakan inisiatif e-Invois sebagai sebahagian daripada usaha mendigitalisasikan sistem percukaian negara. Dengan e-Invois, transaksi perniagaan direkodkan secara digital, memastikan ketelusan dan kecekapan dalam urus niaga. Ia juga membantu mengurangkan risiko pengelakan cukai, sekali gus memastikan kutipan cukai yang lebih tepat.

e-Invois: Memudah cara, meningkatkan pematuhan cukai dan memastikan ketelusan urus niaga.

Selesaikan Tunggakan dan Bersedia untuk Tahun 2025

Sebelum tirai 2025 dibuka, inilah masa terbaik untuk anda menyemak dan menyelesaikan tunggakan cukai bagi tahun 2024, jika ada. Jangan lupa manfaatkan pelepasan dan rebat cukai yang ditawarkan untuk mengurangkan bayaran cukai anda pada tahun hadapan.

HASiL sentiasa bersedia membantu anda dengan segala informasi yang diperlukan – layari sahaja www.hasil.gov.my untuk maklumat lanjut.

Cukai Anda,Masa Depan Kita

Marilah kita semua memainkan peranan masing-masing dengan membayar cukai tepat pada masanya dan secara bertanggungjawab. Ingatlah, “Cukai Anda, Masa Depan Kita” dan melalui setiap pembayaran cukai, kita membina asas yang kukuh untuk Malaysia yang lebih gemilang. – UTUSAN