Deleum perkukuh kedudukan di pasaran Indonesia

Perniagaan

PETALING JAYA: Syarikat perkhidmatan minyak dan gas, Deleum Bhd., memperkukuh kedudukan di pasaran Indonesia dengan memuktamadkan pengambilalihan 70 peratus kepentingan dalam syarikat injap, PT OSA Industries Indonesia (PT OSA), dengan nilai AS$7 juta (kira-kira RM31.3 juta).

Langkah strategik itu dijangka akan memperkasakan perniagaan kuasa dan jentera (P&M) Deleum di Indonesia, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan syarikat di persada antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Deleum, Rao Abdullah berkata, selepas menandatangani Perjanjian Utama pada Mac tahun ini, pemerolehan 70 peratus pegangan majoriti dalam PT OSA hari ini membuka peluang baharu untuk entiti gabungan tersebut.

“Dengan kumpulan kepakaran teknikal yang lebih besar dan menyeluruh, saya tiada keraguan bahawa pengalaman kolektif kami akan meletakkan kami dalam kedudukan yang baik untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan kami.

“Bagi pekerja kami, pemerolehan ini akan membuka peluang untuk pembangunan bakat, membuka jalan untuk pengalaman melintasi sempadan yang lebih luas dalam penyelesaian injap.

“Dengan pasukan yang diperluaskan dan kehadiran kukuh di Malaysia dan Indonesia, Deleum bersedia untuk menembusi pasaran injap yang dinamik di Asia Tenggara.

“Pelaburan yang sedang berjalan dan dirancang dalam infrastruktur minyak dan gas, bersama dengan peningkatan permintaan tenaga berikutan ekonomi yang berkembang pesat, memberi prospek cerah untuk sektor injap di rantau ini,” katanya

Beliau turut menyuarakan keyakinan terhadap sinergi kepimpinan di kedua-dua negara.

“Saya pasti gabungan dua pasukan kepimpinan di kedua-dua negara ini adalah kombinasi yang berpotensi untuk menjadi pemangkin positif kepada semua pihak pada tahun akan datang,” ujarnya.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, PT OSA akan memberikan jaminan keuntungan sebanyak AS$2.7 juta (kira-kira RM12.1 juta) secara kumulatif merentasi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2024 dan 2025, kecuali keadaan yang tidak dijangka

Pengambilalihan itu dijangka akan dalam separuh pertama 2025 setelah memenuhi syarat yang ditetapkan. – UTUSAN