PETALING JAYA: Malaysia sedang memulakan langkah penting ke arah ketahanan ekonomi apabila kerajaan mengurangkan subsidi untuk mengurangkan tekanan fiskal sambil memastikan kestabilan pasaran.
Ketua Ekonomi Malaysian Rating Corporation Bhd. (MARC), Dr. Ray Choy berkata, langkah terancang itu menjadi fokus dalam perbincangan dasar, mencerminkan keperluan pendekatan yang seimbang.
“Rasionalisasi subsidi bukan sahaja bertujuan mengurangkan beban fiskal tetapi juga memastikan kelestarian ekonomi jangka panjang.
“Sentimen ini menonjolkan keseimbangan yang perlu dicapai antara tanggungjawab fiskal dan melindungi kumpulan berpendapatan rendah daripada kesan buruk,” katanya dalam webinar MARC360 Overview semalam.
Beliau berkata, usaha kerajaan itu disokong oleh keputusan Bank Negara Malaysia mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.0 peratus yang bertujuan merangsang pertumbuhan ekonomi sambil mengawal inflasi.
“Pendekatan berhati-hati bank pusat adalah penting untuk mengelakkan kejutan yang tidak diperlukan kepada sistem kewangan.
“Selain itu, ringgit Malaysia yang menghadapi ketidaktentuan ketara awal tahun ini menunjukkan tanda-tanda kestabilan berikutan pelaksanaan reformasi tersebut.
“Keyakinan pelabur secara beransur-ansur kembali apabila Malaysia menempatkan dirinya sebagai ekonomi yang stabil di rantau ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ray Choy berkata, dinamik perdagangan negara turut menyokong prospek positif ini.
“Malaysia mendapat manfaat daripada perubahan rantaian bekalan global, terutamanya dalam sektor utama seperti minyak sawit dan semikonduktor.
“Perdagangan terus memainkan peranan penting, tetapi mengekalkan momentum ini memerlukan dasar strategik jangka panjang,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa meskipun prospek kelihatan positif, cabaran struktur masih wujud.
“Hutang isi rumah yang tinggi dan pertumbuhan gaji yang tidak sekata adalah isu kritikal, dengan pakar menggesa kerajaan memberi keutamaan kepada produktiviti tenaga kerja dan pembangunan kemahiran.
“Peningkatan produktiviti dan pemerkasaan kemahiran tenaga kerja adalah penting jika Malaysia ingin mencapai status negara berpendapatan tinggi,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut memuji inisiatif kerajaan di bawah Belanjawan 2025, termasuk pelaburan dalam tenaga hijau, infrastruktur digital dan inovasi, yang mencerminkan komitmen menangani cabaran tersebut.
“Langkah-langkah ini selaras dengan trend global dan aspirasi negara untuk menjadi ekonomi berteknologi tinggi menjelang 2030,” katanya. – UTUSAN