PETALING JAYA – Sesi ‘Chitchat’ Madani antara pemimpin pelajar dan Ahli Parlimen yang diadakan di bangunan Parlimen dapat membantu mengasah bakat kepimpinan mahasiswa.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, ia merupakan insiatif baharu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membawa pelajar berkomunikasi secara terus dengan Ahli Parlimen.
Menurut beliau, insiatif tersebut juga memberi peluang kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) untuk melihat sendiri perbahasan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
“Mahu atau tidak, generasi mereka ini akan membarisi kepimpinan negara satu hari nanti dan diharap dengan cara ini akan membantu mengasah corak kepimpinan mereka daripada awal,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Zambry berkata, beliau berkesempatan berjumpa dengan Majlis Perwakilan Pelajar daripada 16 IPTA yang mengadakan lawatan ke Parlimen semalam.
Menurutnya, beliau mendengar rintihan dan pandangan mereka dan pada masa sama berkongsi info serta pengalaman dengan golongan muda tersebut.
Kata beliau, pelajar terbabit turut menyertai program bual bicara Sesi ‘Chitchat’ Madani bersama beberapa Ahli-ahli Parlimen antaranya Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan dan Ahli Parlimen Ledang, Tuan Syed Ibrahim Syed Noh.
Tambah beliau, turut menyertai sesi berkenaan ialah Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee dan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Indera Mohd. Shahar.
“Ini merupakan satu langkah baharu yang saya sendiri bincang bersama rakan-rakan Ahli Parlimen dan KPT sendiri inisiatifkan. Sesi ‘Chitchat’ Madani ini kita akan teruskan untuk siri seterusnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE