Usahawan Mara diseru teroka peluang perniagaan ASEAN 2025

Perniagaan

PUTRAJAYA: Kerajaan menyeru usahawan bimbingan Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk meneroka peluang menerusi platform ASEAN 2025 ketika kepengerusian Malaysia dengan mengetengahkan produk-produk tempatan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam usaha ini, persediaan awal perlu dilakukan dengan meningkatkan produktiviti masing-masing.

“Saya ingin membawa usahawan-usahawan untuk mempamerkan produk-produk kita di sidang kemuncak ASEAN – Majlis Kerjasama Teluk (GCC) + China yang akan diadakan pada pertengahan tahun hadapan.

“Saya juga mahu usahawan Mara terutamanya usahawan wanita untuk mempamerkan produk-produk pada Sidang Kemuncak Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS)@ ASEAN yang akan diadakan di negara kita,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Usahawan Mara (AURA) 2023/2024 di sini hari ini.

Seramai 15 usahawan bimbingan Mara dalam pelbagai sektor menerima pengiktirafan dan penghargaan pada majlis tersebut.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menyatakan hasrat untuk membawa rombongan usahawan Mara ke MIHAS di Shanghai, China pada tahun hadapan.

“Seramai 15 usahawan yang mempamerkan produk-produk (mereka) di MIHAS@ Dubai berjaya mendapat tempahan jualan sebanyak RM130 juta.

“Ini merupakan satu pencapaian yang luar biasa, tetapi kita jangan berhenti dan meletakkan noktah di sini saja kerana jualan MIHAS@ Dubai untuk negara kita selama tiga hari jumlahnya adalah RM2.2 bilion,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga mahu Mara menambah peruntukan bagi Skim Pembiayaan Perniagaan Khas Wanita (DanaNITA) untuk memperkasa kumpulan usahawan itu termasuk galakan untuk mengembangkan perniagaan. – UTUSAN