Polis siasat penyanyi rap dakwa dirakam PBT di pusat urut

Kesihatan

PETALING JAYA: Satu siasatan dimulakan polis berhubung dakwaan seorang penyanyi rap mengenai dirinya dirakam secara rahsia ketika serbuan dijalankan di sebuah pusat kecantikan dan kesihatan di Subang Jaya dekat sini pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, ketika serbuan dilakukan anggota bertugas diarahkan untuk merakam video dan mengambil gambar bagi membuktikan aktiviti yang berkaitan dengan urutan selain melakukan pemeriksaan lesen perniagaan.

“Hasil serbuan itu mendapati premis berkenaan tidak mempunyai lesen perniagaan sah Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), sekali gus menyalahi undang-undang di bawah Undang-undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan 2013,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, pasukan serbuan juga tidak diberikan kad pengenalan diri oleh seorang wanita tempatan selain individu terbabit mempertikaikan tindakan dokumentasi yang dijalankan.

“Siasatan awal mendapati wanita terbabit turut melakukan provokasi selain merakam tugas pihak serbuan menggunakan telefon bimbit miliknya.

“Pemeriksaan telefon bimbit anggota terlibat yang didakwa merakam video sebelum mendapati tiada gambar video atau gambar penyanyi wanita itu yang dirakam,” jelasnya.

Wan Azlan berkata, operasi yang dijalankan telah mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan mengikut peruntukan undang-undang.

“Laporan polis dibuat berkaitan serbuan yang ditularkan dalam media sosial manakala wanita terbabit turut sama membuat laporan mengenai dakwaan dia dirakam ketika tidak berbaju semasa diurut.

“Siasatan dijalankan berdasarkan laporan kedua-dua pihak di bawah Seksyen 186/ 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Terdahulu, penyanyi rap Sharifah Zamaera Al Edros Syed Zafilen mendakwa seorang pegawai PBT merakamnya secara rahsia ketika dia tidak berpakaian semasa menjalani perkhidmatan urutan di SS14.

Dalam beberapa hantaran di platform X, penyanyi rap dikenali sebagai Zamaera itu menceritakan pengalamannya, mendakwa pegawai terbabit memasuki premis itu serta merakam video dirinya yang hanya ditutupi dengan tuala.

Zamaera berkata, ketika kejadian dia berada di bilik nombor tujuh sebuah pusat urutan sebelum beberapa lelaki yang mendakwa mereka sebagai pegawai penguat kuasa.