Kementerian Kesihatan tanggung rugi RM6.5 juta

Kesihatan

TUMPAT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menganggarkan jumlah kerugian akibat kerosakan  fasilitinya akibat banjir yang melanda di Kelantan dan Terengganu bernilai RM6.5 juta.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, di Kelantan kerugian bernilai RM4 juta membabitkan kerosakan  77 fasiliti manakala  di Terengganu sebanyak 30 fasiliti dengan kerugian RM2.5 juta.

Katanya, fasiliti yang terjejas di Kelantan  termasuk pejabat kesihatan daerah(PKD), hospital, klinik kesihatan, klinik pergigian dan klinik desa.

“Tiganya adalah  PKD, tiga lagi  hospital, 26  klinik kesihatan, 31 klinik desa, 13 klinik pergigian serta satunya di pintu masuk antarabangsa (PMA) Rantau Panjang.

“Daripada jumlah itu, tiga fasiliti tenggelam banjir dan tidak dapat beroperasi ketika banjir melanda,” katanya selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan banjir (PPS) Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat di Pengkalan Kubor, di sini hari ini.

Dr. Dzulkefly berkata, selain Kelantan,  fasiliti yang terjejas banjir turut direkodkan di Kedah sebanyak sembilan  fasiliti,  Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing dua dan Perak sebuah.

“Jumlah keseluruhan fasiliti terjejas banjir seluruh negara yang direkodkan sebanyak 121 buah,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, sejumlah 10, 272 kes penyakit berjangkit dikesan di enam negeri terjejas banjir.

Katanya, penyakit yang dilaporkan adalah  6,730 kes Acute Respiratory Infection (ARI), jangkitan kulit (3,021 kes)  Acute Gastroenteritis (298 kes),  Konjunktivitis (190 kes), Chicken Pox(20 kes) dan Hand Foot and Mouth Disease (HFMD) (13 kes) yang dikesan sehingga semalam.

Katanya, kesemua kes penyakit berjangkit adalah sporadik dan stabil. – UTUSAN