4,870 graduan terima ijazah Konvokesyen ke-24 UTHM

Teknologi

BATU PAHAT: Seramai 4,870 orang graduan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima ijazah masing-masing bersempena Istiadat Konvokesyen ke-24 universiti itu bermula hari ini hingga 12 Disember.

Sidang pertama Istiadat Konvokesyen disempurnakan oleh Pemangku Sultan Johor, Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail yang merupakan Canselor UTHM.

Sementara itu, Tan Sri Azmi Rohani yang juga Pro-Canselor UTHM pula menyempurnakan sidang kedua istiadat konvokesyen yang diadakan esok.

Sebanyak 123 orang menerima ijazah doktor falsafah, 329 orang sarjana, sarjana muda 3,392 manakala 926 orang lagi penerima diploma.

Tuanku Canselor turut berkenan menyampaikan anugerah gelaran Profesor Emeritus kepada Prof. Dr. Ahmad Tarmizi Abd Karim pada sidang pertama bagi menghargai penglibatan dan sumbangan beliau dalam dunia pendidikan tinggi, industri, komuniti dan kepimpinan.

Dalam pada itu, Anugerah DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) dianugerahkan kepada dua penerima iaitu Nur Syafiqah Husna Zainul Arshad penuntut Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia (Bioteknologi) dengan kepujian dan Chris Ng yang menerima Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dengan kepujian.

Penerima Anugerah Sultan Ibrahim pula dianugerahkan kepada Fadlin Afina Suhaimi iaitu lulusan Sarjana Muda Teknologi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Dengan Kepujian.

Turut disampaikan kepada kepada graduan terpilih adalah Anugerah Canselor, Anugerah Tan Sri Dato’ Paduka Hajjah Aishah Ghani, Anugerah Akademik Yayasan UTHM, Anugerah UTHM Holdings, Anugerah Projek Sarjana Muda Terbaik, Anugerah Khas Alumni UTHM (Kategori Akademik), Anugerah Kecemerlangan Lembaga Jurutera Malaysia, Anugerah Wakaf & Endowmen, Anugerah Tesis Terbaik (Ijazah Kedoktoran) dan Anugerah Tesis Terbaik (Sarjana Penyelidikan). – UTUSAN