Fasiliti perubatan RM6.5 juta terjejas akibat banjir di Kelantan, Terengganu

Kesihatan

TUMPAT – Kementerian Kesihatan (KKM) mengalami kerugian hampir RM6.5 juta akibat kerosakan fasiliti perubatan semasa banjir gelombang pertama melanda Kelantan dan Terengganu baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kerugian bernilai RM4 juta membabitkan kerosakan 77 fasiliti berlaku di Kelantan manakala di Terengganu pula sebanyak 30 fasiliti dengan kerugian bernilai RM2.5 juta.

Katanya, fasiliti yang terjejas di Kelantan termasuk Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), hospital, klinik kesihatan, klinik pergigian, klinik desa.

“Ia melibatkan tiga buah PKD, hospital (3), klinik kesihatan (26), klinik desa (31), klinik pergigian (13) dan satu di pintu masuk antarabangsa (PMA) Rantau Panjang.

“Daripada jumlah itu, tiga fasiliti tenggelam banjir dan tidak dapat beroperasi ketika banjir melanda,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat, Pengkalan Kubor di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dzulkefly memberitahu, selain Kelantan, fasiliti yang terjejas banjir turut direkodkan di Kedah sebanyak sembilan fasiliti, Negeri Sembilan (2), Pahang (2), dan Perak (1).

Menurutnya, jumlah keseluruhan fasiliti terjejas akibat banjir di seluruh negara yang direkodkan adalah sebanyak 121 buah. – KOSMO! ONLINE