BN mesti dikembalikan semula ke pentas utama politik dan pentadbiran Sabah menerusi pilihan raya negeri (PRN) akan datang, kata Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Arthur Joseph Kurup.
Katanya hal itu memandangkan PBRS yakin formula serta struktur BN adalah yang terbaik untuk rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia, selain sumbangannya terhadap pembangunan Sabah tidak dapat dinafikan sejak dulu lagi.
“Kemenangan BN di Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri dan Mahkota baru-baru ini boleh dijadikan batu loncatan bagi menyuntik semangat baru sebagai persediaan jentera parti untuk menghadapi PRN.
“Pertandingan selepas ini ialah di Sabah dan kita akan bertemu lagi di Sabah. Kita mesti bersatu, kita mesti berpakat dengan rakan komponen lain dan dengan semangat perpaduan dan kerjasama baik kita mesti kembalikan BN ke atas pentas utama politik dan pentadbiran di Sabah,” katanya.
Arthur berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Ulang Tahun Jubli Emas BN di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir Pengerusi BN yang juga Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden MIC, M Saravanan dan Presiden MCA Wee Ka Siong.
Arthur yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata kemenangan Malaysia di Mahkamah Agung Belanda dalam kes rayuan kumpulan Sulu misalnya, merupakan hasil kerja keras Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said daripada BN.
Katanya BN juga berjaya untuk mengembalikan hak keistimewaan Sabah dan Sarawak selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ketika Ismail Sabri Yaakob menjadi perdana menteri pada 2021.
Menurutnya PBRS – yang menyambut ulang tahun ke-30 tahun ini – adalah satu-satunya parti tempatan Sabah yang menjadi sahabat sejati BN di kala susah dan senang.
“Maksudnya, sudah 30 tahun PBRS bersama BN iaitu sejak PBRS ditubuhkan pada 1994. PBRS tidak pernah berganjak walau seinci, malah tetap berdiri teguh bersama mempertahankan BN.
“Saya ingin menegaskan bahawa kesetiaan tidak berbelah bahagi PBRS kepada BN tetap akan diteruskan dan akan diperjuangkan. PBRS akan kekal bersama BN,” katanya.
Sambutan bertemakan Melayari Bahtera Perjuangan, Menakhoda Negara Bangsa yang bermula jam 10 pagi hingga 5 petang tadi menghimpunkan kira-kira 5,000 hadirin dari seluruh negara termasuk pemimpin tertinggi parti, ahli komponen dan penyokong parti.
Gabungan BN terdiri daripada Umno, MCA, MIC dan PBRS. BN ditubuhkan pada 1 Jun 1974 oleh Abdul Razak Hussein yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Umno.
– Bernama