Dominic idam tiga mata pertama Harimau Malaya

Sukan

PETALING JAYA: Pemain pertahanan skuad kebangsaan, Dominic Tan percaya aksi pertama menentang Kemboja dalam kempen Piala ASEAN 2024 di Phnom Penh esok penting dalam usaha Harimau Malaya menamatkan kemarau trofi kejohanan lebih sedekad lamanya.

Tatkala banyak cakap-cakap mengatakan Malaysia tidak mempunyai masalah untuk menewaskan Kemboja kerana berdasarkan kedudukan ranking dunia pasukan itu menduduki tangga ke-180 berbanding Harimau Malaya berada di 132 dunia.

Bagaimanapun, pertahanan Sabah FC itu menegaskan apabila menyertai kejohanan antarabangsa, semua pasukan akan berusaha keras untuk mencipta kejayaan.

“Sebagai pemain kami tahu kami nak menang namun di kejohanan antarabangsa selalu sukar pada aksi pertama, jadi amat penting kami dapatkan kemenangan.

“Aksi antarabangsa pastinya sukar tanpa mengambil kira pasukan mana yang kita lawan. Kami perlu fokus pada diri sendiri dan dapatkan keputusan,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai barisan pemain yang dibawa oleh jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente untuk menyertai kejohanan pada edisi kali ini, Dominic percaya semuanya mampu memberi impak kepada pasukan.

“Ada banyak muka baharu tapi saya percaya mereka sememangnya layak berada di sini dan sudah pasti semua pemain buat yang terbaik untuk dapatkan keputusan yang baik dalam kejohanan ini.

“Saya akan cuba terbaik untuk membantu pemain baharu dan pasukan di sepanjang kejohanan ini,” katanya.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia memenangi Piala ASEAN adalah pada edisi 2010 ketika Harimau Malaya di bawah kendalian Datuk K. Rajagobal. – UTUSAN