Graduan disaran lengkapkan diri dengan ilmu baharu

Teknologi

SHAH ALAM: Graduan Management & Science University (MSU) disaran menambah ilmu baharu bagi menghadapi alam pekerjaan yang semakin berevolusi saban tahun.

Raja Muda Kedah yang juga Canselor MSU, Tengku Sarafudin Badlishah bertitah, perkembangan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan kecerdasan buatan (AI) menjadikan dunia pekerjaan menjadi semakin luas dan mewujudkan pekerjaan baharu yang tidak pernah ada sebelum ini.

“Saya ingin menyeru para graduan agar terus menambah ilmu, beradaptasi dengan persekitaran dunia yang sentiasa berubah dan memainkan peranan dalam membangunkan negara tercinta ini.

“Penggunaan teknologi yang efektif dan efisyen membentuk generasi graduan yang dinamik dan berinovasi tinggi,” titahnya sempena Majlis Konvokesyen MSU ke-34 di sini, hari ini.

Baginda turut mengingatkan graduan yang mendapat pekerjaan kelak supaya sentiasa melakukan tugas yang diterima dengan jujur serta berintegriti sekali gus dapat menghasilkan kerja terbaik kepada majikan mereka.

“Reputasi seseorang adalah sesuatu yang dibina dalam masa yang lama dan memerlukan bertahun-tahun untuk sebati dengan diri.

“Tetapi ia akan musnah dengan sekelip mata apabila melakukan satu perbuatan yang melanggar integriti. Nasihat saya supaya kekal pada nilai dan integriti. Laluan kerjaya bukan sahaja akan berjaya di depan, tetapi juga bermakna,” titahnya. – UTUSAN