Strategi Harimau Malaya diintip dron

Sukan

PETALING JAYA: Ketua jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente mengakui persiapannya bagi menghadapi Kemboja dalam aksi sulung Kumpulan A Piala ASEAN terganggu disebabkan terdapat dron yang memerhatikan pasukannya ketika berlatih.

Pau Marti meluahkan kekecewaannya itu ketika sidang media,semalam, apabila memberitahu perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana ia telah menjejaskan kualiti latihan pasukannya yang akan menghadapi Kemboja di Stadium Olimpik, Phnom Penh, hari ini.

Bagaimanapun, pengendali dari Sepanyol itu tidak menuduh dron tersebut milik tuan rumah dan enggan menjadikan perkara tersebut sebagai halangan dalam merencana strategi terbaik menghadapi skuad kendalian Koji Gyotoku.

“Kami menghadapi isu mengenai dron. Ia sangat mengganggu namun saya tak fikir ia dari Kemboja. Saya kecewa sebab kena menghadapinya.

“Kami ada dron dan boleh rakam sesi latihan pasukan dan kami kena pastikan tiada lagi dron lain di situ selepas ini. Mungkin kebetulan (keberadaan dron tersebut), saya tidak tahu.

“Saya tak rasa ia dari Kemboja, kalau tidak ia mengecewakan. Apa yang penting adalah apa yang kami akan lakukan dan bukan apa yang lawan akan lakukan,” katanya.

Dalam pada itu, Pau Marti tidak melihat berita mengenai pengundurannya selepas kejohanan tersebut tamat menjejaskan prestasi pasukan memandangkan mereka semua adalah profesional.

“Di penghujungnya ia bukan sesuatu yang saya boleh kawal sepenuhnya. Saya fikir bukan waktu terbaik untuk mengumumkannya tetapi elok buat sebelum kejohanan bermula sebab apabila sudah bermula saya fikir kami tak nak perkara yang boleh beri gangguan.

“Saya percaya pemain dan barisan kejurulatihan profesional walaupun saya dan staf jurulatih tidak pasti mengenai masa depan, kami menyerahkannya kepada FAM.

“Saya fikir ia tidak memberi kesan kepada pasukan kerana satu atau dua orang tidak lebih penting daripada keseluruhan kami,” katanya.-UTUSAN