UMNO Perak bersikap terbuka terima bekas ahli

Politik

IPOH: UMNO Perak bersikap terbuka dalam menerima semula kehadiran bekas ahli parti dengan syarat mereka mesti mematuhi Perlembagaan serta disiplin parti yang ditetapkan.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Mohamad Saarani berkata, penerimaan itu termasuklah kepada bekas ahli yang sebelum ini meninggalkan parti kerana tidak berpuas hati kerana tidak dipilih sebagai calon.

“Macam kata Datuk Seri Zahid (Presiden UMNO), mereka yang hendak balik kepada parti, mereka kena ada ikrar dalam diri. Pertama insaf bahawa apa yang mereka lakukan sebelum ini adalah salah, dan kedua mengetahui bahawa organisasi ini ada Perlembagaan dan disiplin yang mesti dipatuhi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Memancing Perak Sejahtera 2030 Bersama YAB Menteri Besar perak tahun 2024 di Gopeng, dekat sini hari ini.

Saarani berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas Barisan Nasional (BN) Ke-50 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur semalam.

Sebelum ini, penggantungan keahlian UMNO bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ditarik semula yang sebelum itu digantung selama enam tahun bermula September 2022 kerana mengkritik parti dan telah empat kali mengemukakan rayuan.

Berhubung usia BN yang telah mencecah 50 tahun, Saarani melihat potensi kerjasama Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum yang akan datang.

“Jadi kerja kuat kita selepas ini adalah menggabungkan tenaga UMNO, MCA dan MIC. Jika mengambil formula di pilihan raya kecil (PRK) Mahkota dan Nenggiri, BN boleh dapat lebih banyak kerusi,” katanya.

Sementara itu dalam program yang disertai oleh beliau, isterinya Datin Seri Aezer Zubin merupakan antara pemancing yang mengungguli carta pemenang apabila berada di tempat ketiga setelah berjaya menaikkan ikan keli seberat 2.45 kilogram.

Saarani berada di tempat ke-10 setelah berjaya menaikkan ikan pacu seberat 2.05 kilogram dalam pertandingan yang diadakan di Taman Herba Gopeng. – UTUSAN