PETALING JAYA – Bekas pemain pertahanan kiri pasukan bola sepak kebangsaan, A. Jayakanthan terharu apabila sumbangannya di peringkat domestik dan antarabangsa sebelum ini kini dihargai.
Jayakanthan sebelum ini pernah menjadi sebahagian anggota skuad Malaysia beraksi di pelbagai peringkat dari 1986 hingga 1993 antaranya Sukan SEA, Sukan Asia, Piala Merdeka dan kelayakan Piala Dunia 1994.
Menariknya, pemain kental dengan 22 kaps antarabangsa itu pernah membantu skuad negara mencatat kemenangan bersejarah 1-0 ke atas Australia sebelum menjulang Piala Jakartaraya pada 1992.
Jayakanthan yang pernah mewakili Selangor FC dengan memenangi pelbagai gelaran seperti Piala Malaysia dan Piala FA sehingga bersara, masih bergiat aktif bersama komuniti sukan di peringkat veteran antaranya bersama Kelab Diraja Selangor (RSC).
Untuk itu, Akademi Visioon Business Solutions Sdn. Bhd. (VBS) dan Sheila Hussain Vijay & Partners (SHVP) tampil dengan inisiatif murni menghargai jasa dan sumbangannya buat negara dengan Anugerah Sukan VBS CSR.
Anugerah itu disampaikan oleh Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia yang juga Presiden Persekutuan Karate Malaysia, Datuk Nur Azmi Ahmad ditemani Pengarah Akademi VBS, Dr. Vijayaray R. Kanniah pada Majlis Makan Malam Tahunan Ke-7 dan Hari Penganugerahan CCO Ke-4 di Petaling Jaya kelmarin.
“Tiga kriteria ditetapkan untuk anugerah ini iaitu atlet itu pernah berkhidmat dalam industri kewangan sekurang-kurangnya selama setahun, menyumbang kepada perkembangan sukan di peringkat negeri dan negara serta pencapaian cemerlang dengan rekod yang baik.
“Tiga penerima anugerah ini sebelum ini ialah Muhammad Dhaarma Raj Abdullah pada 2019, Paul Lopez pada 2022 dan Iman Gobinathan bagi tahun 2023.
“Jadi kami meneruskan inisiatif ini untuk menghargai bekas atlet kebangsaan dan kali ini Jayakanthan dipilih sebagai penerima anugerah sukan ini kali keempat,” kata Vijayaraj yang juga rakan kongsi SHVP.
Pada majlis berkenaan juga menyaksikan tiga anugerah kecemerlangan diberikan kepada pelajar terbaik Akademi VBS iaitu Teo Heng Hong dari MBSB Bank Berhad (sektor perbankan), Tan Yuet Ping dari Three Sixty Financial Inc. (sektor insurans) dan Saharani Kassim dari ZRC International Trust Inc. (sektor amanah). – KOSMO! ONLINE