Makan secara sihat adalah salah satu aspek penting dalam menjaga kesihatan dan kesejahteraan.
Diet yang sihat dan berkhasiat bukan sahaja memberikan tenaga yang diperlukan oleh tubuh badan tetapi juga memperkuat sistem imun dan membantu dalam mencegah pelbagai penyakit kronik seperti obesiti, diabetes, hipertensi dan penyakit jantung.
Pemakanan sihat melibatkan pengambilan pelbagai jenis makanan dari semua kumpulan makanan termasuk buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin, protein dan lemak sihat.
Setiap kumpulan makanan menyediakan nutrien berbeza yang penting untuk kesihatan dan pengambilan pelbagai jenis makanan dapat memastikan tubuh mendapat pelbagai jenis nutrien.
Makan secara sihat mempunyai pelbagai manfaat yang menyumbang kepada kesihatan dan kesejahteraan secara menyeluruh.
Pemakanan yang seimbang dan sihat membantu dalam mengekalkan berat badan ideal.
Makanan yang kaya dengan serat seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh memberikan rasa kenyang lebih lama dan mengurangkan keinginan untuk makan secara berlebihan.
Nutrien yang diperolehi daripada makanan sihat membekalkan tenaga yang diperlukan oleh tubuh untuk menjalankan aktiviti harian.
Karbohidrat adalah sumber tenaga utama untuk tubuh. Makanan yang kaya dengan karbohidrat kompleks adalah seperti beras perang, roti gandum penuh dan bijirin.
Karbohidrat kompleks seperti bijirin penuh dan sayur-sayuran membantu dalam penghadaman, memberikan rasa kenyang lebih lama dan memberikan tenaga yang berterusan.
Protein adalah penting untuk pembinaan dan pembaikan tisu badan.Sumber protein yang baik termasuk daging tanpa lemak, ikan, telur dan kekacang.
Protein juga boleh didapati daripada sumber tumbuhan seperti tofu dan tempeh. Nutrien seperti vitamin C, vitamin E dan zink adalah penting untuk fungsi sistem imun.
Buah-buahan dan sayur-sayuran adalah sumber vitamin, mineral dan serat yang penting. Makanan yang kaya dengan antioksidan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran membantu melawan radikal bebas dan meningkatkan pertahanan badan terhadap jangkitan.
Produk tenusu seperti susu, yogurt dan keju adalah sumber kalsium dan vitamin D yang baik untuk kesihatan tulang.
Selain itu, air adalah komponen penting dalam diet yang sihat. Minum sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari dapat membantu dalam proses penghadaman, penyerapan nutrien dan pengeluaran sisa toksik dari tubuh.
Terdapat beberapa langkah praktikal yang boleh diambil untuk memastikan kita makan secara sihat.
Merancang hidangan adalah kunci kepada pemakanan yang sihat.
Rancang menu mingguan yang seimbang dan pelbagaikan pilihan makanan untuk memastikan pengambilan nutrien yang mencukupi.
Buat senarai membeli-belah berdasarkan menu yang dirancang untuk mengelakkan pembelian makanan yang tidak sihat.
Membaca label makanan untuk mengetahui kandungan nutrien dalam makanan yang kita beli.
Perhatikan kandungan kalori, gula, garam, dan lemak dan memilih makanan yang rendah dalam kandungan gula, garam dan lemak tepu.
Memasak di rumah dapat mengawal terhadap bahan-bahan yang digunakan dan cara penyediaan makanan.
Gunakan teknik memasak yang sihat seperti mengukus, memanggang atau merebus berbanding menggoreng.
Pilihlah makanan yang segar dan tidak diproses. Makanan yang diproses sering kali mengandungi bahan tambahan yang tidak sihat seperti pengawet, pewarna tiruan dan gula tambahan.
Pengambilan gula dan garam yang berlebihan boleh membawa kepada pelbagai masalah kesihatan seperti obesiti, diabetes dan hipertensi.
Lebihkan makanan segar seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh dalam diet harian.
Kurangkan pengambilan minuman bergula seperti soda dan jus buah yang diproses sebaliknya, minum air kosong.
Untuk mengurangkan pengambilan garam, elakkan makanan yang tinggi dalam kandungan garam seperti makanan segera, makanan dalam tin dan snek yang diproses.
Gunakan herba dan rempah untuk menambah rasa dalam masakan sebagai pengganti garam.
Selain itu, makan bersama keluarga bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan tetapi juga memberi peluang untuk berkongsi makanan yang sihat.
Apabila makan bersama, kita akan lebih cenderung untuk menyediakan dan menikmati makanan yang lebih berkhasiat. Ini juga memberi contoh yang baik kepada anak-anak tentang kepentingan pemakanan yang sihat.
Makan secara sihat adalah asas kepada kehidupan yang berkualiti dan seimbang.
Dengan memilih makanan yang segar dan berkualiti, memastikan pengambilan nutrien yang seimbang, mengurangkan gula dan garam dan minum air yang mencukupi, kita dapat meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan secara menyeluruh.
Pemakanan yang sihat adalah pelaburan terbaik untuk masa depan yang lebih sihat dan ceria.
Maklumat Penulis:
Pensyarah Kanan, Department of Healthcare Professional Faculty of Health and Life Sciences, Management and Science University (MSU), Dr Tan Bee Ling
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel [email protected]