AI dan masa depan pekerjaan: Peluang atau cabaran untuk Malaysia

Teknologi

Kecerdasan buatan (AI) kini menjadi nadi utama transformasi ekonomi global termasuk di Malaysia.

AI telah mempercepatkan era Revolusi Industri 4.0 dengan menawarkan potensi besar dalam meningkatkan kecekapan, produktiviti dan inovasi.

Walau bagaimanapun, teknologi ini juga membawa cabaran ketara terutama terhadap struktur pasaran pekerjaan.

Banyak pekerjaan tradisional mungkin digantikan oleh automasi seiring permintaan terhadap kemahiran teknologi meningkat.

Artikel ini mengupas secara mendalam impak AI terhadap pekerjaan di Malaysia termasuk peluang yang dicipta, cabaran yang timbul dan langkah penyelesaian untuk memastikan transformasi ini berlaku secara inklusif.

AI kini menjadi alat utama untuk meningkatkan daya saing dalam pelbagai sektor di Malaysia.

Dalam sektor perkilangan, robot berasaskan AI telah digunakan secara meluas untuk automasi tugas seperti pemasangan dan pengurusan inventori.

Perubahan ini membantu syarikat mengurangkan kos operasi dan meningkatkan kecekapan.

Dalam sektor kewangan pula, AI digunakan untuk menganalisis data pelanggan, mengesan transaksi mencurigakan dan menawarkan perkhidmatan yang lebih personalisasi.

Sebagai contoh, bank-bank di Malaysia kini menggunakan chatbot untuk menjawab pertanyaan pelanggan, menggantikan peranan ejen manusia untuk tugas rutin.

Sektor pertanian

Sementara itu, dalam sektor pertanian, AI membantu petani memantau keadaan tanah dan tanaman untuk meningkatkan hasil pengeluaran mereka.

Namun begitu, automasi ini membawa implikasi besar kepada pasaran pekerjaan.

Tugas rutin yang tidak memerlukan kemahiran tinggi kini berisiko digantikan oleh mesin.

Sektor perkhidmatan pelanggan, misalnya telah menyaksikan penurunan permintaan terhadap pekerja pusat panggilan sementara chatbot dan AI mengambil alih peranan ini.

Menurut laporan McKinsey Global Institute, hampir 25 peratus daripada tugas pekerjaan global boleh diautomasi sepenuhnya menjelang 2030.

Malaysia, sebagai negara membangun, turut terdedah kepada risiko ini terutamanya bagi pekerja dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.

No Image Caption

Peluang pekerjaan baru

Penggunaan AI di Malaysia telah membuka peluang pekerjaan baru terutamanya dalam bidang teknologi seperti analitik data, pembangunan perisian dan pengurusan sistem AI.

Syarikat seperti Grab dan AirAsia adalah contoh jelas bagaimana AI membantu meningkatkan perkhidmatan mereka.

Grab contohnya, menggunakan teknologi AI untuk memastikan penghantaran makanan dan barangan lebih cekap.

AirAsia pula memanfaatkan AI untuk memahami tingkah laku pelanggan dan merancang pemasaran dengan lebih baik.

Kemajuan ini menunjukkan keperluan tenaga kerja yang tahu menggunakan dan menguruskan teknologi AI.

Walaupun AI boleh menggantikan beberapa pekerjaan, ia juga mencipta peluang baru untuk mereka yang mahir dalam bidang teknologi.

Namun begitu, persoalan besar ialah sama ada sistem pendidikan dan latihan sedia ada mampu memenuhi permintaan ini ataupun tidak.

Tahap literasi digital

Tahap literasi digital di Malaysia masih rendah berbanding negara maju.

Walaupun kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif seperti Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara 2021-2025, pelaksanaannya masih perlu dipercepatkan.

Inisiatif ini bertujuan untuk memastikan teknologi AI dapat dimanfaatkan secara menyeluruh.

Melalui pendekatan strategik ini, kerajaan berharap dapat melahirkan tenaga kerja yang bukan sahaja mampu bertahan dalam era automasi tetapi juga memimpin pembangunan teknologi di rantau ini.

Selain itu, isu utama ialah jurang antara kawasan bandar dan luar bandar.

Pekerja di kawasan luar bandar sering kali kurang terdedah kepada teknologi dan peluang latihan.

Ini boleh menyebabkan ketidakseimbangan dalam akses kepada peluang pekerjaan masa hadapan.

Dalam menangani cabaran yang timbul akibat perkembangan AI, kerajaan telah mengambil langkah proaktif melalui pelbagai program latihan semula dan peningkatan kemahiran.

Salah satu inisiatif utama ialah program Upskilling and Reskilling yang dilaksanakan oleh Perbadanan Sumber Manusia Berhad (HRDF).

Program ini bertujuan membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan akibat automasi dan membekalkan mereka dengan kemahiran baharu yang relevan dengan keperluan pasaran kerja semasa.

Dengan latihan ini, pekerja dapat menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan terus menyumbang kepada ekonomi negara.

Selain itu, kerjasama dengan syarikat teknologi global seperti Google dan Microsoft juga telah memainkan peranan yang sangat penting.

Kedua-dua syarikat ini menawarkan kursus dalam talian secara percuma untuk meningkatkan literasi digital dan kemahiran teknologi rakyat Malaysia.

No Image Caption

Kursus-kursus ini memberi peluang kepada individu dari pelbagai latar belakang untuk mempelajari kemahiran baru seperti analitik data, pengaturcaraan dan pemasaran digital yang sangat diperlukan dalam ekonomi berasaskan teknologi AI.

Walau bagaimanapun, cabaran utama ialah memastikan akses yang adil kepada program-program ini.

Golongan pekerja berusia dan kurang berkemampuan sering menghadapi kesukaran untuk mengikuti kursus teknologi sama ada disebabkan oleh kekangan masa.

Oleh itu, kerajaan dan syarikat swasta perlu mencari cara untuk menjadikan program latihan ini lebih inklusif.

Sebagai contoh, kursus dalam talian boleh dilengkapkan dengan kelas fizikal di kawasan luar bandar untuk memastikan pekerja yang tidak mempunyai akses kepada internet turut mendapat manfaat yang sama.

Algoritma AI

Selain daripada aspek latihan, penggunaan AI juga menimbulkan persoalan etika.

Algoritma AI yang tidak telus boleh membawa kepada diskriminasi.

Sebagai contoh, sistem pengambilan pekerja berasaskan AI yang menggunakan data latihan yang berat sebelah mungkin memberi peluang yang tidak adil kepada golongan tertentu.

Oleh itu, kerajaan perlu menetapkan garis panduan yang jelas bagi memastikan penggunaan AI di Malaysia berlaku secara bertanggungjawab dan adil.

Penggunaan data peribadi juga perlu diurus dengan cermat untuk melindungi privasi rakyat.

Dari sudut ekonomi, AI menawarkan potensi besar untuk meningkatkan produktiviti dalam pelbagai sektor.

Contohnya, sektor penjagaan kesihatan di Malaysia telah mula menggunakan AI untuk menganalisis data pesakit, memantau kesihatan pesakit kronik, dan mempercepatkan proses diagnosis.

Dalam bidang pendidikan pula, AI membantu menyediakan pembelajaran yang lebih sesuai untuk pelajar.

Walau bagaimanapun, manfaat ekonomi ini perlu diagihkan secara adil untuk memastikan jurang ketidaksamaan ekonomi tidak bertambah buruk.

Jika dibiarkan, hanya syarikat besar yang mampu melabur dalam AI akan mendapat keuntungan terbesar manakala perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan terus ketinggalan.

Oleh itu, kerajaan perlu memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju ini.

Dasar-dasar baharu seperti insentif cukai kepada syarikat yang melabur dalam teknologi dan latihan pekerja boleh mempercepatkan penyesuaian pasaran buruh terhadap teknologi AI.

Selain itu, pelaburan dalam pendidikan teknologi di peringkat sekolah dan universiti juga perlu ditingkatkan.

Ini termasuk memperkenalkan pelbagai subjek seperti pengaturcaraan dan analitik data dalam kurikulum sekolah supaya generasi muda lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Kesimpulannya, AI menawarkan peluang besar untuk meningkatkan daya saing ekonomi Malaysia, tetapi cabaran seperti risiko kehilangan pekerjaan akibat automasi memerlukan perhatian serius.

Pekerja perlu dilengkapkan dengan kemahiran baharu melalui program pendidikan dan latihan semula.

Langkah-langkah ini perlu disokong oleh dasar yang adil dan menyeluruh, memastikan tiada golongan yang terpinggir terutama mereka di kawasan luar bandar.

Dengan pendekatan strategik dan inklusif, Malaysia bukan sahaja dapat memanfaatkan potensi AI untuk pertumbuhan ekonomi tetapi juga membentuk ekosistem pekerjaan yang lebih mampan, adil dan inovatif.

AI berpeluang menjadi pemangkin kemajuan teknologi dan sosial asalkan pengurusannya dilakukan secara bertanggungjawab.

Maklumat Penulis:

1) Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian dan Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia (ECO4373), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Mashitah Abdull Rassid

2) Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, UMT, Jaharudin Padli

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel [email protected]