Sultan Nazrin berangkat sambutan 50 tahun Hospital Fatimah

Kesihatan

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat bagi menyempurnakan majlis sambutan Jubli Emas Hospital Fatimah Ipoh di sini yang beroperasi sejak tahun 1974.

Keberangkatan baginda ke hospital tersebut di sini diiringi oleh Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta kepimpinan dan pentadbir negeri.

Hospital Fatimah ialah hospital swasta terletak di kawasan Ipoh Garden, kira-kira tiga kilometer dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Pengerusi Lembaga Pengarah hospital tersebut, Datuk Michael Cheah dalam sembah ucapannya berkata, pihaknya gembira dengan kehadiran Baginda sebagai tanda pengiktirafan terhadap perkhidmatan dan komitmen kakitangannya.

“Pembukaan Hospital Fatimah ini disempurnakan perasmiannya pada tahun 1974 oleh Almarhum Sultan ldris Shah. Pada hari ini, keberangkatan Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku adalah tanda pengiktirafan terhadap perkhidmatan dan komitmen tinggi para doktor, jururawat dan kakitangan hospital yang berdedikasi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perubatan Hospital Fatimah, Dr. Liaw Kok Toon dalam sembah ucapannya berkata, hospital itu mempunyai 236 unit katil dengan kekuatan 641 staf daripada kesemua kategori.

Tambahnya, hospital itu menyediakan hampir 30 perkhidmatan kepakaran dan subkepakaran kesihatan serta pelbagai perkhidmatan pembedahan dan kemudahan perawatan kesihatan yang lain.

Menurut hospital tersebut, sejarah Hospital Fatimah bermula pada tahun 1952 apabila Brothers of Mercy tiba di Semenanjung Tanah Melayu dan kemudian menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk daerah Kinta dengan masyarakat tempatan memanggil mereka ‘Doktor Jerman’.

Dalam majlis sambutan itu juga, Sultan Nazrin berkenan menandatangani plak bagi meraikan lima dekad perkhidmatan hospital tersebut. – UTUSAN