Pendidikan robotik bina fokus kanak-kanak

Pendidikan

KUALA LUMPUR – Pendidikan robotik tidak hanya melatih minda kanak-kanak supaya lebih fokus dan memiliki kemahiran berfikir aras tinggi, malah menjadi satu terapi buat mereka, terutamanya anak-anak yang memiliki ciri autisme.

Ini kisah seorang usahawan muda yang membuka pusat pendidikan robotik sebagai satu bentuk pembelajaran tambahan untuk generasi baharu.

Pengasas dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Jazro Robotic Academy, Dzulfarqeish Zainuddin berkata, sejak ditubuhkan pada 2020, pihaknya telah menerima lebih daripada 50,000 pelajar sepanjang tempoh empat tahun beroperasi.

“Ia merangkumi murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah, bahkan terdapat juga sejumlah guru yang turut me­nyertai program pendidikan robotik melalui pusat akademi ini.

“Kami telah menerima pelbagai komen dan pencapaian positif daripada para pelajar, terutamanya berkaitan dengan pencapaian serta fokus mereka yang semakin baik dalam pem­belajaran di sekolah.

“Selain itu, terdapat seorang pelajar autisme yang berjaya mendapat tempat keempat dalam pertandingan robotik pada peringkat kebangsaan me­lalui program yang kami sertai.

Yuran dikenakan hanya RM199/bulan.

“Dari situ, saya mula menye­dari bahawa sebenarnya pendidikan robotik ini dapat menjadi terapi dan membuatkan anak-anak terutamanya yang memiliki ciri autisme lebih fokus dalam kehidupan seharian mereka,” katanya kepada Kosmo! di sini, baru-baru ini.

Lebih menarik, Dzulfarqeish berkata, nama akademinya Jazro diambil bersempena dengan nama seorang tokoh robotik Islam iaitu Jazari dan robot.

Anak kelahiran Johor ini berkata, pusat akademinya bukan sekadar mengajar berkaitan robotik, malah turut menyelitkan soal akhlak dan pendidikan berkaitan dengan tokoh-tokoh teknologi Islam yang terkenal.

“Tujuan kami menyelitkan ele­men seperti ini adalah untuk membetulkan niat para pelajar serta membentuk mereka menjadi seorang pereka robotik yang bijak dan tidak menyalahgunakan ilmu ke arah yang tidak baik.

“Inilah yang membezakan antara Jazro dengan pusat pendidikan robotik yang lain,” jelasnya.

Pembelajaran mengenai robotik mampu membina kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan kanak-kanak.

Selain itu, ujar Dzulfarqeish, pihaknya turut berkunjung ke sekolah-sekolah untuk memberikan pendedahan berkaitan dengan robotik dan kepenti­ngan kemahiran tambahan untuk kanak-kanak menuju ke hadapan.

Jelasnya, pihaknya berhasrat untuk meningkatkan kesedaran orang ramai khususnya ibu bapa terhadap kepentingan untuk memberikan pendidikan kemahiran kepada anak-anak mereka, sama ada kemahiran membina robot mahupun kemahiran-kemahiran lain.

“Pendidikan kemahiran sebegini sebenarnya sangat baik untuk tumbesaran anak-anak, yang mana mereka dapat belajar untuk berfikir pada aras yang lebih tinggi dan meningkatkan daya tumpuan.

“Secara tidak langsung, fokus mereka terhadap pembelajaran di sekolah juga akan semakin meningkat,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Dzulfarqeish menerangkan bahawa pihaknya kini mempunyai cawangan di Cyberjaya, Kuala Lumpur, Kuala Terengganu, Kerteh dan Kemaman.

Jazro Robotic Academy menerima kehadiran lebih daripada 50,000 pelajar sepanjang tempoh empat tahun operasi sejak 2020.

Tambahnya, syarikat turut berhasrat untuk memperluaskan kehadirannya ke seluruh Malaysia menerusi pembukaan cawa­ngan baharu pada masa akan datang, bagi untuk memberi peluang kepada lebih ramai anak tempatan mendekati ilmu robotik pada kos yang rendah.

Yuran pembelajaran di Jazro Robotic Academy hanya RM199 sebulan.

Pada masa sama, Dzulfarqeish turut menzahirkan rasa terima kasih kepada Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) yang banyak membantu memperkasa perniagaan syarikat melalui program yang dianjurkan.

Katanya, dengan menyertai program Business in Transformation (BIT) oleh Pernas pada Disember 2023, pihaknya mendapat banyak manfaat dan turut berjaya membina hubungan baik bersama agensi-agensi kerajaan yang lain.