KKM dan Jabatan Kesihatan Selangor nafi Pusat Jantung Serdang bermasalah

Kesihatan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor menafikan mesej berantai kononnya Pusat Jantung Serdang (PJS) dilaporkan mengalami masalah teknikal. 

Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dalam kenyataan memaklumkan semua fasiliti di PJS Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang sudah mula beroperasi sepenuhnya sejak 14 Ogos lalu.

Kata kenyataan itu, semua bilik bedah di PJS telah lancar beroperasi dengan jumah terkini keseluruhan bilangan pembedahan adalah sebanyak 760 kes. 

“Di samping itu, HSIS Serdang mempunyai 20 bilik pembedahan di blok utama dan empat daripadanya merupakan bilik pembedahan jantung. 

“Kes-kes pembedahan jantung dijalankan sepenuhnya di empat bilik pembedahan di PJS, manakala kes-kes bukan pembedahan jantung dijalankan di bilik pembedahan di blok utama HSIS Serdang. 

“Perkhidmatan di lima buah Makmal Jantung Invasif (ICL) dan Mesin MRI 3.0 Tesla di PJS juga berfungsi dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Terdahulu, sebuah media atas talian melaporkan berita bilik pembedahan Pusat Jantung Hospital Serdang dilapor alami masalah teknikal dan meminta Kementerian Kesihatan menyiasat.

Berita bertarikh 3 Disember itu mendakwa empat bilik pembedahan di Blok Pusat Jantung dan satu daripada empat bilik pembedahan jantung di Blok Utama HSIS Serdang berada dalam keadaan tidak berfungsi.

Pada masa sama, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor memaklumkan pihaknya sentiasa memantau status pengoperasian, fungsi dewan bedah dan perkhidmatan sokongan di fasiliti-fasilititermasuk memastikan aspek penyelenggaraan secara berkala dijalankan. – UTUSAN