KUALA LUMPUR: Laporan interim mengenai dapatan kajian empirikal mengenai pengasingan peranan antara Peguam Negara dan Pendakwa Rakya sedang disediakan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, laporan yang mengambil masa selama setahun untuk disediakan itu dijangka akan dibentangkan kepada Kabinet untuk dipertimbangkan pada tahun depan.
Kata beliau, laporan itu mengenai dapatan kajian empirikal yang dilakukan di Ottawa dan Toronto, Kanada serta Melbourne dan Canberra, Australia yang masing-masing pada 6 hingga 9 Mei dan 3 hingga 6 Jun lalu.
“Pasukan itu sudah memperoleh maklumat dan data komprehensif serta menyeluruh, termasuk perkara teknikal, spesifik (serta) generik yang memberi penekanan kepada (gambaran besar) pelaksanaan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya di negara ini.
“Negara terakhir akan dikaji oleh Pasukan Petugas Khas Komparatif ialah United Kingdom (UK) yang juga penutup kepada Kajian Empirikal, akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Teresa Kok (PH-Seputeh) yang memintanya menyatakan status status terkini usaha pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta garis masa untuk melaksanakan reformasi institusi berkenaan.
Dalam pada itu, Kulasegaran berkata, kerajaan turut mengadakan sesi perbincangan meja bulat dengan menjemput pelbagai pihak termasuk pakar akademik, pengamal undang-undang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Australia, Kanada serta Malaysia.
Jelasnya, kajian saintifik dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) bagi melihat perspektif sains kemasyarakatan pandangan umum ke atas pengasingan peranan tersebut sudah selesai dijalankan dalam tempoh enam bulan.
“Kajian ini membabitkan pihak berkepentingan, termasuk masyarakat umum, agensi penguatkuasaan, pakar berkaitan dan kerajaan negeri.
“Ia merangkumi pengumpulan dan analisis data dan maklumat daripada pihak berkepentingan melalui pelbagai kaedah penyelidikan seperti perbincangan kumpulan fokus,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Ipoh Barat itu berkata, kerajaan juga terbuka dengan cadangan pelantikan Peguam Negara dibawa ke jawatankuasa di Parlimen
Bagaimanapun, jelasnya, cadangan tersebut memerlukan penelitian secara mendalam sebelum keputusan dapat dimuktamadkan.
Tambahnya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar sebagai Peguam Negara baharu dibuat berdasarkan meritnya sebagai peguam kanan, selain muncul sebagai individu paling bijak, bagus dan berpengalaman untuk jawatan tersebut.
“Sebenarnya apabila Peguam Negara mengendalikan kes, dia bukan sahaja seorang peguam tetapi ada juga peguam lain. Dalam pemilihan dibuat kerajaan, beliau adalah paling bijak dan bagus kerana itu adalah ‘seniority’ beliau serta berpengalaman.
“Selain diketahui sebagai peguam berkebolehan, saya boleh katakan sedemikian kerana pernah berdepan dengan beliau dalam beberapa kes di mahkamah. Beliau sentiasa lebih ke hadapan dan juga ada kebebasan serta integriti,” katanya.
HABIS