Afig puas genggam ijazah tanpa bebani ibu bapa

Perniagaan
Muhammad Afig merakam momen bersejarah bersama ayah, adik perempuan dan ibunya.

Muhammad Afig merakam momen bersejarah bersama ayah, adik perempuan dan ibunya.

Penat bukan penghalang buat pemuda ini untuk belajar sambil melakukan lima kerja sambilan supaya tidak menyusahkan ibu dan bapa.

Sepanjang bergelar pelajar Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Afig Iskandar Adrel, 24, bekerja di gerai burger, runner kereta sewa, penghantar makanan di kolej kediaman dan pembantu hotel atau acara rasmi lain.

Dia juga pernah bekerja sambilan di beberapa cawangan restoran serta kiosk minuman sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) sekitar tahun 2020 hingga 2021 bagi menambah sumber kewangan.

Sepanjang menuntut ilmu di UPM, Muhammad Afig perlu menghadiri kelas dalam talian di sebelah pagi dan terus bekerja pada waktu petang hingga lewat malam.

Muhammad Afig berjaya menerima Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian di UPM.

Muhammad Afig berjaya menerima Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian di UPM.

“Saya utamakan benda yang penting dahulu. Kadang-kadang memang akan rasa penat tapi diri sendiri perlu kuat.

“Kalau boleh tidak mahu susahkan keluarga. Lagipun, saya tidak pernah minta duit daripada mereka sepanjang belajar dulu.

“Saya cari duit sendiri dan mendapat tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Saya guna sikit dan selebihnya saya simpan,” katanya secara eksklusif bersama Sinar Bestari.

Muhammad Afig yang baharu sahaja mengikuti majlis konvokesyen universiti itu, mengakui bahawa dia sukar menyesuaikan diri semasa belajar dalam talian.

Sebagai anak sulong daripada dua adik-beradik, dia lebih memilih untuk berdikari dan kuat mencari wang agar tidak menyusahkan ahli keluarga lain.

Muhammad Afig menunjukkan kebolehan bekerja sambilan boleh menerima Anugerah Dekan semester.

Muhammad Afig menunjukkan kebolehan bekerja sambilan boleh menerima Anugerah Dekan semester.

Apabila pelajar diarahkan belajar secara bersemuka ketika pasca Covid-19, Muhammad Afig mengambil keputusan bekerja terlebih dahulu bagi mengumpul modal seterusnya membuka perniagaan sendiri.

“Alhamdulilah dengan tertubuhnya perniagaan ini, saya mampu bertahan di UPM. Malah boleh membantu ramai pelajar ijazah dan asasi yang senasib dengan saya” ujarnya.