KL dominasi Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali

Sukan

MELAKA: Kuala Lumpur (KL) mengungguli Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2024 apabila regu lelaki dan wanita mereka muncul juara menewaskan lawan masing-masing dalam aksi akhir di Dewan Bola Keranjang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Bukit Serindit di sini, semalam.

Reputasi KL yang memenangi lima kejuaraan Grand Prix Liga Sepak Takraw Malaysia (STL) baru-baru ini tidak menghadapi masalah untuk mencapai kemenangan mudah mengatasi Perak 2-0.

Kehebatan pasukan itu membariskan tekong kebangsaan, Muhammad Syahir Mohd. Rosdi, Amirul Zazwan Amir sebagai apit kiri dan pemain import dari Thailand Aekkasit Naphom di posisi apit kanan mencapai kemenangan 15-6 dan 17-16.

Perak menurunkan gandingan Meor Mohamad Zulfikar (tekong), Aidil Aiman Azwani (apit kiri) dan Muhammad Noraizat Mohd. Nordin (apit kanan) hanya memberi tentangan sengit di set kedua apabila terikat 16-16, namun servis kencang Muhammad Syahir mengutip mata penamat.

Kejayaan itu membolehkan KL meraih hadiah wang tunai RM15,000 bersama medal dan trofi manakala Perak yang muncul naib juara membawa pulang RM10,000.

Dua pasukan yang kalah di separuh akhir iaitu Juara Liga STL 2024, Negeri Sembilan dan Johor pula menerima RM5,000.

Muhammad Syahir turut dinobatkan selaku tekong terbaik dan Aekkasit Naphom sebagai apit kanan terbaik.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dan dihadiri Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Redzuan. – UTUSAN