PN bimbang kerajaan sekat kebebasan bersuara musuh politik

Politik

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menyifatkan dua Rang Undang-Undang (RUU) yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat petang ini akan dijadikan sebagai ‘senjata’ untuk menghalang kebebasan bersuara khususnya seteru politik.

Dua pindaan yang akan dibentangkan hari ini adalah RUU Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 dan RUU Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2024.

Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, PN bimbang sekiranya kerajaan dan Menteri Komunikasi sendiri menggunakan undang-undang yang dipinda itu dari sudut politik lalu sekali gus menyekat kebebasan bersuara pihak pembangkang.

Kata beliau, PN bersetuju bahawa komen-komen yang dilontarkan itu tidak sepatutnya menyemai kebencian dalam masyarakat dan memberi komunikasi jelek.

“Tetapi siapa yang nak mendefinisikan kebencian itu? Apa definasi yang nak digunapakai dalam komunikasi jelek itu? Dalam undang-undang ini, ia diperincikan tetapi boleh disalahgunakan kalau ada yang mahu. Itu kebimbangan PN.

“Kita bersetuju supaya undang-undang ini diperketatkan tetapi jangan terlalu ketat sehingga mengongkong orang untuk bersuara.,” katanya semasa sidang akhbar di Parlimen, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, membawa perubahan besar kepada negara ini khususnya dalam usaha menangani kesalahan berkaitan pedofilia dan penjualan pornografi dalam talian.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pindaan melibatkan 51 muka surat itu merupakan langkah signifikan selepas 26 tahun akta tersebut dikuatkuasakan.

Mengulas lanjut, Afnan Hamimi berkata, kerajaan dibimbangi menggunakan akta tersebut dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Dia (kerajaan) akan sekat pihak pembangkang (dan) pihak-pihak yang tidak sealiran dengan mereka (serta hanya) memberi ruang kepada pihak-pihak yang bersetuju dengan mereka sahaja. Kalau ini berlaku, bagi kami ia tidak adil.

“Sebahagian undang-undang ini kami bersetuju tetapi sebahagian besar boleh terdedah kepada salah guna kuasa oleh pihak Kementerian (Komunikasi),” katanya.

Sependapat dengan itu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyeru seluruh ahli Dewan Rakyat untuk berfikir terlebih dahulu sebelum memberi sokongan bagi meluluskan RUU tersebut.

“Terutama di peringkat kerajaan, fikir banyak kali (dahulu) sebelum menyokong secara membuat tuli.

“Bukan kita kata peraturan tidak diperlukan tetapi biarlah ia adil, jelas dan telus untuk memastikan keadilan kepada semua,” katanya.-UTUSAN