MP PKR gesa pasukan petugas siasat hospital swasta, syarikat insurans

Kesihatan

Beberapa ahli parlimen PKR menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menubuhkan pasukan petugas untuk menyiasat mengenai kenaikan premium insurans dan peranan hospital swasta.

Pada sidang media hari ini, Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin mencadangkan pasukan petugas itu dianggotai oleh pakar perubatan, pakar dasar kesihatan awam, dan profesional lain yang berkaitan untuk merumuskan penyelesaian yang memberi manfaat kepada hospital swasta, syarikat insurans dan orang ramai.

“Jika kita meneliti pertumbuhan keuntungan kumpulan hospital swasta, angka itu amat menggalakkan,” kata Sim.

“Persoalannya, adakah ini boleh menyumbang kepada peningkatan premium insurans yang dihadapi oleh rakyat Malaysia?” soalnya.

Tambahnya, tanpa data atau kepakaran yang mencukupi, adalah sukar untuk menentukan sama ada keuntungan ini dikaitkan secara langsung dengan aduan yang semakin meningkat mengenai kenaikan premium.

Sim juga menegaskan bahawa hospital swasta telah mengejar keuntungan secara agresif, memetik data daripada dua kumpulan penjagaan kesihatan utama: KPJ Healthcare Group dan IHH Healthcare Group.

“Walaupun kita mengakui bahawa hospital swasta adalah didorong oleh keuntungan, keuntungan ketara yang mereka catat dalam beberapa tahun kebelakangan ini tidak boleh diabaikan,” jelas Sim.

Menurut data itu, KPJ Healthcare Group, yang mengendalikan 29 hospital swasta di Malaysia dan masing-masing satu di Thailand dan Bangladesh, telah melaporkan peningkatan keuntungan kasar sekurang-kurangnya 34 peratus dalam tempoh lima tahun lalu, dengan yang tertinggi dicatatkan pada 41.9 peratus tahun lepas .

Sementara itu, IHH Healthcare Group, yang mengendalikan 18 hospital, telah merekodkan pendapatan sebelum faedah, cukai dan pelunasan (Ebita) antara 21.5 peratus dan 25 peratus dari 2020 hingga 2023.

Minggu lalu, Sim menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) untuk campur tangan dan menyiasat penanggung insurans dan pengendali takaful (ITO) yang terus menaikkan premium walaupun arahan bank pusat untuk menyemaknya terlebih dahulu.

Sebelum ini dilaporkan bahawa premium boleh meningkat sebanyak 40 hingga 70 peratus, mendorong Sim menggesa orang ramai untuk berkongsi maklum balas mereka dengan menghantar e-mel [email protected].

Walaupun Sim sebelum ini menerima 147 aduan awam mengenai isu itu, jumlah itu telah meningkat kepada 197.

Menjelaskan lagi kenyataannya, Sim menggesa Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara menjalankan pendengaran bagi menyiasat keadaan itu secara menyeluruh.

“Matlamat kami bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak atau mengehadkan keuntungan sektor penjagaan kesihatan swasta.

“Sebaliknya, kami menggesa kerajaan untuk mencari penyelesaian mampan yang akan menyokong ekosistem penjagaan kesihatan swasta dan sistem pembiayaan kesihatan, memastikan pertumbuhan jangka panjang dan sihat sektor itu,” katanya.

Sim juga menambah bahawa wakil daripada Bank Negara Malaysia (BNM) akan bertemu ahli parlimen backbencher esok dalam mesyuarat tertutup berhubung isu itu.

Ahli parlimen lain yang menyokong kenyataan itu termasuk Ahli Parlimen Tebrau Jimmy Puah, Ahli Parlimen Sungai Petani Taufiq Johari, Ahli Parlimen Segamat R. Yuneswaran, Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Mun, Ahli Parlimen Gopeng Tan Kar Hing dan Senator Amir Ghazali.