PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer, Najwa Latif mengesahkan dirinya sudah kembali bergelar pensyarah dan kini berkhidmat di Pusat Asasi Universiti Teknologi Mara (UITM) kampus Dengkil, sejak Oktober.
Najwa atau Imratul Najwa Abdul Latif, 29, teruja kembali bergelar pengajar bagi program Teaching of English as a Second Language (TESL).
“Saya tidak tahu bagaimana orang boleh jumpa maklumat saya kembali bergelar pensyarah. Saya terkejut sahaja tapi tidak marah, kerana apa yang tular itu memang sudah tertera di dalam portal.
“Sekarang saya mengajar di UITM tapi masih terlalu awal untuk ceritakan pengalaman susah senang. Baru jumpa pelajar sebulan, mereka terus duduki peperiksaan dan cuti.
“Sebelum ini saya mengajar di Universiti Selangor (Unisel) tapi berhenti setahun lalu bagi memberi fokus kepada ijazah Doktor Falsafah,” katanya.
Najwa berkata demikian ketika mengulas mengenai maklumat dirinya sebagai pensyarah yang tular di aplikasi X, semalam.
Menurut penyanyi Cinta Muka Buku itu lagi, dia sangat profesional di dalam kelas dan tiada pelajar yang bertanya tentang sisi peribadinya sebagai artis.
“Saya tidak pasti sama ada mereka kenal saya atau tidak. Dalam kelas pun saya kenalkan diri sebagai Miss Najwa. Muka mereka nampak biasa sahaja.
“Tapi saya profesional sahaja, sebab baru masuk,” selorohnya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Walaupun sibuk bergelar pensyarah, Najwa tidak melupakan bidang seni dan masih aktif melakukan persembahan pada hujung minggu.
“Sebenarnya saya masih menerima jemputan persembahan pada hujung minggu.
“Saya terharu apabila diberitahu ada peminat yang mahu saya adakan konsert, InsyaAllah kalau ada rezeki,” tambahnya.