Masalah kesihatan bukan penghalang rangkul ijazah

Kesihatan

Berdepan masalah kesihatan pada usia muda bukan penghalang untuk seorang gadis mencapai impiannya.

Genna Sangeeta Kunasakaram, 33 tahun berasal dari Ipoh, Perak diagnosis artritis rheumatoid, penyakit autoimun dan keradangan ketika berumur 21 tahun.

Namun, dia tidak berputus asa demi mengejar cita-citanya walau bergantung sepenuhnya pada kerusi roda selama bertahun-tahun disebabkan artritis rheumatoid.

Kini anak sulung daripada dua adik-beradik itu menamatkan pengajiannya dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Farmasi dari Management Science University (MSU), Shah Alam pada 7 Disember ini.

“Tidak pernah terlambat untuk belajar jika kita mempunyai keazaman.”

“Kekuatan, ketabahan, dan semangat yang tidak pernah luntur merupakan antara tiga perkataan yang menggambarkan perjalanan saya,” kata Genna Sangeeta.

Genna yang turut menceburkan diri dalam bidang lakonan juga berkata pada mulanya dia hanya menggunakan tongkat kerana sukar untuk berjalan akibat arthritis.

Dia pernah membintangi siri drama Astro Tamiletchumy 2, Pasanga 1 dan Yaar Avan, serta telemovie Yugam Putiyathu.

Katanya, keadaan kemudian bertambah buruk sehingga dia bergantung sepenuhnya pada kerusi roda.

Dia berkata sendi-sendinya menjadi kaku sehingga pergerakannya menjadi terbatas dan selepas konvokesyen dia akan menjalani pembedahan pada lutut kirinya di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Kata Genna, dia sedih kerana sebagai seorang aktres tidak dapat berlakon dalam drama Tamil, Pasanga 2 akibat pergerakannya terbatas.

“Wajah ibu bapa saya muncul dalam fikiran saya apabila saya ingin menyerah, mereka telah banyak berkorban untuk saya dan saya perlu membalas jasa mereka.

Menangis, bangkit semula

Genna berkata perjalanannya sangat mencabar baginya kerana dia terpaksa menghadapi kesakitan setiap hari dan menjalani fisioterapi yang agak lama serta kerap ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Saya sangat sedih dan kecewa kerana pada usia muda, saya sepatutnya menjalani kehidupan aktif tetapi saya terpaksa melawan kesakitan yang luar biasa.

“Saya sering menangis kerana sukar menerima kenyataan tetapi sokongan yang saya dapat daripada keluarga dan rakan-rakan membantu saya untuk bangkit semula,” jelasnya.

Genna Sangeeta telahpun memulakan kerjaya dalam bidang perubatan, bekerja sebagai pembantu ahli farmasi di Hospital Klang.

“Ketika kecil, saya mempunyai begitu banyak impian dan saya berjanji kepada diri sendiri untuk menjadikan semua impian itu menjadi kenyataan.

“Saya ingin membuat diri saya yang kecil itu bangga kerana saya telah melalui pelbagai dugaan dan ingin memberikan yang terbaik untuk diri saya,” katanya.

Dalam pada itu, Genna berkata dia kesal dengan individu yang salah faham derita penyakitnya dan mula memanggilnya “cacat.”

Belajar memaafkan

“Perkataan itu sangat menyakitkan hati dan saya menangis kerana berasa begitu kecil hati. Saya belajar untuk memaafkan mereka dan bangkit semula.

“Kata-kata negatif orang lain tidak akan menghalang saya daripada terus maju,” kata Genna Sangeetha.

Genna juga berkata ketabahan mampu mengatasi segala cabaran hidup.

“Jangan biarkan masalah kesihatan menjadi alasan untuk anda berhenti mengejar impian.

“Saya adalah bukti bahawa walaupun kita ada cabaran besar, kita masih mampu mencapai sesuatu yang luar biasa. Jika saya boleh melaluinya, anda juga pasti boleh.

“Ingatlah, kekuatan datang dari dalam diri kita. Teruskan berusaha, dan jangan takut untuk meminta sokongan daripada orang-orang yang sayangkan anda.

“Jangan pernah berputus asa, kerana setiap usaha kecil membawa kita lebih dekat kepada impian,” pesannya.