SHAH ALAM – Kerajaan negeri mengakui belum ada prosedur operasi standard (SOP) yang jelas berhubung penguatkuasaan di rumah urut.
Ini selepas kekecohan yang berlaku melibatkan seorang penyanyi wanita yang mendakwa terdapat anggota penguat kuasa merakam dirinya yang tidak berpakaian ketika sedang berurut di sebuah
pusat kecantikan dan kesihatan di Subang Jaya.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, beliau secara peribadi menyatakan kekesalan dan permohonan maaf berhubung insiden tersebut sehingga menjadi tular.
Katanya, bagaimanapun ia mungkin kesilapan atau salah faham antara kedua-dua belah pihak.
“Pihak penguatkuasaan pergi ke situ untuk jalankan operasi. Kita belum ada SOP yang jelas bagaimana buat penguatkuasaan tentang rumah urut tidak berlesen dan sebagainya. Apa yang berlaku dan saya dimaklumkan rumah urut tersebut tidak berlesen.
“Saya tidak menyalahkan penyanyi itu dan faham beliau mungkin tercabar dengan kehormatan dan sebagainya. Mungkin keperibadian dan hak serta sebagainya, itu saya faham apa yang dinyatakan suara hati beliau,” katanya pada sidang akhbar berkenaan cukai taksiran tahun 2025, di sini hari ini.
Justeru, kata Suee Lim menjelaskan beliau akan cuba menyelesaikan isu tersebut dengan cara berhemah dan mengambil tindakan sewajarnya dalam mengelakkan kejadian sama.
“Dalam bab ini, memang ada salah faham sehingga ada pergaduhan dalam itu ( premis tidak berlesen) antara penguatkuasa dan artis itu sendiri.
“Saya berharap perkara itu tidak akan berulang pada masa akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, implementasi penggunaan kamera badan di kalangan penguatkuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) akan dilaksanakan mengikut kadar kewangan PBT.
“Kalau keadaan kewangan okay, kita boleh laksanakan secara berperingkat sebagai semak imbang dan mengelakkan berlaku salah faham yang itu bagus kepada penguatkuasa PBT.
“(Adakah akan diwajibkan kamera badan) perbincangan dan libat urus akan dilakukan bersama PBT dengan Mesyuarat Jawatankuasa Tetap (STANCO) akan dibuat Januari dan Februari depan. Saya tidak boleh buat keputusan ad-hoc sebab belum duduk dengan mereka,” jelasnya.
Terdahulu, tular rakaman video dimuat naik seorang penyanyi wanita mendakwa terdapat anggota penguat kuasa merakam dirinya yang tidak berpakaian ketika sedang berurut di sebuah pusat kecantikan dan kesihatan di Subang Jaya. – KOSMO! ONLINE