70 mahasiswa terima RM970,000 Biasiswa Al-Falah Madani-myWaqafPTPTN

Pendidikan

KUALA LUMPUR – Seramai 70 mahasiswa terpilih menerima Biasiswa Al-Falah Madani di bawah produk myWaqafPTPTN membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM970,000 di ibu negara, hari ini.

Biasiswa berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dengan kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk memperkasakan pendidikan tinggi melalui wakaf.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar berkata, para penerima terdiri daripada asnaf, golongan tidak berkemampuan serta tidak tidak terhad kepada mereka yang beragama Islam sahaja.

“Selain penerima asnaf yang disahkan oleh Majlis Agama Islam Negeri, penerima juga terdiri daripada mahasiswa keluarga B40 dan M40 dengan pelbagai latar belakang agama.

“Ianya membuktikan bahawa pendidikan berkualiti tidak seharusnya menjadi hak eksklusif, tetapi merupakan suatu peluang yang boleh dinikmati semua pihak,” katanya ketika hadir ke Majlis Penyampaian Biasiswa Al-Falah Madani di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut turut berlangsung permulaan kerjasama YWM bersama tiga agensi iaitu Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Andorra Healthcare dan Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur.

Kerjasama berkenaan memberi penumpuan kepada aspek pembiayaan pembangunan projek-projek wakaf berimpak tinggi, pembangunan hospital pakar dan penambahbaikan
infrastruktur serta kebajikan pelajar.

Mengulas lanjut Mohd. Na’im berkata, semua pihak syarikat korporat dan persendirian juga digalakkan untuk memberikan sumbangan wakaf dalam usaha meningkatkan ekonomi Islam.

“Konteks zakat adalah terhad namun wakaf mampu menggerakkan ekonomi dengan lebih luas. Kombinasi zakat dan wakaf mampu mengubah ekonomi Islam untuk bantu rakyat Malaysia khususnya,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE