KUALA LUMPUR: Selepas mengumumkan kehamilan kedua, pelakon dan pengacara, Ain Edruce memberitahu berat badannya naik secara mendadak meskipun kandungannya baru berusia lima bulan.
Menerusi perkongsian di Instagram Story, Ain atau nama lengkapnya, Nurulain Edruce, 33, berkata, berat badannya telah meningkat sebanyak 10 kilogram (kg) selepas membuat pemeriksaan kesihatan bulanan.
“Hari ini (semalam) saya pergi berjumpa dengan doktor, saya periksa berat badan saya. Berat saya daripada 55 kg, sekarang 65 kg. Baru lima bulan lebih hamil,” katanya.
Dalam pada masa, pengacara Melodi itu memaklumkan dia sudah mencuba untuk mengawal pemakanannya sepanjang mengandung.
Namun, dia bimbang perubahan itu boleh menyebabkan dirinya sukar mendapatkan kembali berat badan yang ideal selepas bersalin.
“Saya sudah cuba sedaya upaya untuk kurangkan makan tapi berat itu semakin naik. Saya risaulah, lepas bersalin nanti susah mahu turunkan berat badan sebanyak itu,” jelasnya.
Pada awal December lalu, Ain memaklumkan dia bakal menimang cahaya mata kedua menerusi sebuah hantaran di Instagram.
Ain yang sebelum ini pernah mengalami keguguran pada April lalu bagaimanapun belum mendedahkan jantina anak keduanya itu.
Ain telah berkahwin dengan Amirul Hafiz pada 13 Disember 2019 dan memiliki seorang cahaya mata perempuan, Soraya yang kini berusia tiga tahun. -UTUSAN