Ruqyah sembuhkan guru yang ‘dirasuk’

Pendidikan

MUNGKIN kerana naluri keibuan, penulis agak ‘menyirap’ membaca laporan seorang guru lelaki didakwa bertindak ganas terhadap murid berusia 10 tahun pada 6 Disember lalu.

Menerusi hantaran di Facebook, Pengasas Rumah Perlindungan Kanak-Kanak TBQ Amal (TBQ Amal), Herman Sudir mendakwa, muka anak yatim piatu itu ditendang. Apabila mangsa jatuh dan menangis, dia ditumbuk pula dan rambutnya direntap, sebelum diheret ke pejabat.

Setakat ini, pihak polis masih menyiasat kes berkenaan untuk memastikan sama ada benar atau tidak dakwaan tersebut.

Namun sekiranya benar, perbuatan sebegitu, walaupun atas alasan murid berkenaan nakal, adalah keterlaluan dan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Sebenarnya, murid bukannya tidak boleh dihukum tetapi kuasa merotan diberikan oleh KPM berasaskan peruntukan yang disediakan dalam Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959, di bawah Ordinan Pelajaran 1957.

Dalam Peraturan 5 dinyatakan dengan jelas bahawa:

(1) Bagi maksud menjaga disiplin dalam kalangan murid-murid, guru besar hendaklah mempunyai kuasa menjalankan hukuman-hukuman sekolah yang biasa sebagaimana perlu atau bermanfaat:

Dengan syarat bahawa (a) hukuman dera kepada murid-murid perempuan adalah dilarang; dan (b) hukuman dera kepada murid-murid lelaki oleh seseorang guru atau lain-lain kakitangan sekolah adalah dihadkan kepada merotan dengan rotan yang ringan di tapak tangan ataupun di punggung yang berlapik dengan pakaian dan hendaklah difahamkan hanya oleh guru besar ataupun dengan kuasa nyata yang diberi olehnya dalam hal yang tertentu.

(2) Satu rekod mengandungi semua hukuman yang dijalankan di bawah perenggan (1) hendaklah disimpan secara sulit mengikut bentuk yang diluluskan oleh pendaftar.

Hukuman yang dikenakan hendaklah direkodkan dengan menyatakan jenis salah laku, bilangan sebatan, bahagian anggota yang dirotan, nama dan tandatangan perotan dan saksi semasa hukuman rotan dilaksanakan.

Adakah label ‘budak nakal’ cukup untuk menjustifikasikan tingkah laku guru bagai ‘dirasuk’ itu. Atau adakah alasan guru stres dengan bebanan kerja hingga mendorong kepada perlakuan seumpama itu?

Malangnya, ini bukan kejadian pertama. Sebelum ini ada kes guru memukul murid berulang kali selama lebih 30 minit, menjerit, menampar dan menolak kanak-kanak itu di tepi pentas dalam satu majlis di sekolah.

Dalam kes lain, kanak-kanak berusia 11 tahun lumpuh selepas mengalami strok haba akibat tindakan guru memaksa dia berdiri di bawah matahari hampir tiga jam.

Di negara seberang pula, seorang guru menghukum seorang pelajarnya melakukan squat jump 100 kali sehingga meninggal dunia.

Ya, guru juga manusia biasa yang adakala terkhilaf, namun kesabaran yang membezakan manusia dengan haiwan.

Tahap kesihatan mental para guru bukannya tidak diambil berat. KPM komited meningkatkan akses sistem sokongan kesihatan mental kepada guru di seluruh sekolah.

Menterinya, Fadhlina Sidek memberitahu, KPM mengenal pasti pelbagai perkara yang menyumbang kepada masalah kesihatan mental warga pendidik.

Penulis tertarik dengan kajian dilakukan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Nasional (NIOSH) dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi menyokong usaha kerajaan meningkatkan kesejahteraan mental di tempat kerja.

Kajian bertajuk ‘Elektroensefalografi (EEG) dan Variabiliti Kadar Jantung (HRV) Dalam Reaksi Terhadap Pelbagai Terapi Kesihatan Mental’ itu dibentangkan di Persidangan Penyelidikan Stres ke-20 anjuran Pusat Penyelidikan Stres Copenhagen di Universiti Copenhagen, Denmark baru-baru ini.

Ia melibatkan tiga pendekatan terapi utama iaitu latihan pernafasan dalam, aromaterapi dengan minyak pati dan ruqyah (bacaan al-Quran).

Hasil kajian menunjukkan pernafasan dalam dan aromaterapi adalah kaedah berkesan untuk mengurangkan stres serta meningkatkan kesejahteraan mental di tempat kerja. Terapi ini membantu pekerja mencapai ketenteraman, mengurangkan kebimbangan dan meningkatkan fokus.

Bukan sahaja guru, kita juga boleh mencubanya saat ‘dirasuk’. Andai kata tidak berkesan, mungkin perlu di‘ruqyah’.

* Asmaliza Mansor ialah Penyunting Sinar Harian