Wajah baharu Alam Flora perkukuhkan komitmen terhadap teknologi hijau

Teknologi

KUALA LUMPUR – Penggantian 305 unit jentera dan pakaian seragam baharu Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) membuktikan strategi anak syarikat Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) itu untuk terus menerajui inovasi pengurusan sisa pepejal di Malaysia berjaya direalisasikan.

Malah, pembaharuan seluruh jentera terdahulu itu juga selaras dengan objektif utama Alam Flora untuk mengoptimumkan kecekapan operasi dan mengurangkan pelepasan karbon, sekali gus menyokong inisiatif hijau negara.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Badrulhisyam Fauzi berkata, jentera baharu yang dilancarkan pada Oktober lalu itu diperkenalkan bagi tujuan memanfaatkan teknologi terkini serta memfokuskan pada kelestarian alam sekitar.

Jelasnya, ia membantu meminimumkan kesan buruk ke atas alam sekitar, di samping memastikan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal yang lebih cepat dan cekap.

Tambahan pula, Alam Flora sentiasa komited melabur untuk mendapatkan jentera-jentera terkini setiap tujuh ke lapan tahun, bagi menggantikan kenderaan lama dalam memastikan perkhidmatannya kekal di tahap yang terbaik.

“Bagi lori kompaktor, ia menggunakan teknologi enjin Euro 5 yang mengurangkan pelepasan karbon dengan ketara dan mematuhi piawaian alam sekitar global.

“Selain itu, sistem tangki air larut resap (leachate) yang lebih besar berkapasiti 350 sehingga 400 liter, membantu penjagaan alam sekitar dengan mengurangkan masalah bau dan risiko pencemaran,” kata Badrul.

Beliau berkata demikian kepada Kosmo! ketika mengadakan tinjuan operasi fasa pertama melibatkan sebahagian jentera berkenaan di sebuah kawasan perumahan di Jalan Kuching, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Badrul

Mengulas lanjut, Badrul berkata, jentera-jentera ini dilengkapi dengan sistem perancangan laluan pintar, membolehkan pengendali­nya memilih laluan dengan lebih efisien, seterusnya menjimatkan masa dan bahan api.

“Lori kompaktor baharu itu juga dilengkapi dengan pengangkat tong dwi fungsi yang memenuhi Piawaian Eropah EN 1501-05.

“Ia membantu memendekkan masa kutipan sisa pepejal, sekali gus membolehkan kami menambah liputan kawasan operasi setiap hari serta mengurangkan penggunaan bahan api,” ujarnya.

Tambahnya, penggantian jentera-jentera terdahulu bagi fasa pertama telah pun dimulakan sejak sebulan yang lalu dan proses itu dijangka selesai pada penghujung tahun hadapan.

“Ia akan dilaksanakan menerusi dua fasa melibatkan 154 lori kompaktor, 37 power press, 77 lori arm roll, 20 kenderaan utiliti Triton, dan 17 jengkaut melibatkan jumlah pelaburan sebanyak RM160 juta,” jelasnya.

Dalam memastikan perkhidmatan syarikat sentiasa di tahap terbaik, Badrul berkata, keselamatan pekerja turut menjadi keutamaan dan usaha ini meliputi rekaan pakaian seragam baharu yang turut diperkenalkan bersama jentera berkenaan, baru-baru ini.

“Jentera baharu kami dilengkapi dengan sistem yang lebih selamat dan mesra pengguna, manakala pakaian seragam terkini yang kami perkenalkan pula menggunakan material yang lebih selesa serta selamat.

“Warnanya pun lebih menarik dan memenuhi ciri-ciri keselamatan, bertujuan untuk memastikan pekerja kami dapat menjalankan tugas dengan lebih yakin dan efisien,” tambahnya.

Selain jentera berteknologi terkini, petugas Alam Flora turut dilengkapi seragam baharu yang lebih selesa dan selamat.

Namun tegasnya, kesedaran dan tanggungjawab komuniti dalam memberikan kerjasama kepada komitmen Alam Flora juga amat diperlukan dalam memastikan keberkesanan perkhidmatan yang diberikan.

“Kemajuan servis serta jentera yang digunakan tidak akan bermakna tanpa kerjasama baik daripada masyarakat setempat. Tiada gunanya kalau kita kutip dan bersihkan sebanyak mana sekalipun, tetapi sampah masih dibuang merata-rata.

“Masyarakat disarankan supaya patuhi jadual (kutipan sampah) dan budayakan amalan kitar semula dengan mengasingkan sampah mengikut kategori, kerana ia bukan sahaja bermanfaat untuk penjagaan alam sekitar, malah membantu kelancaran kerja petugas-petugas kami,” katanya.

Badrul menjelaskan, perubahan besar yang dilakukan Alam Flora pada kali ini bukan sahaja memfokuskan kepada kualiti perkhidmatan serta teknologi hijau, malah bermatlamat untuk memartabatkan industri sisa pepejal dalam kalangan generasi muda dan memposisikan kerjaya ini sebagai ’wira tak didendang’ yang memainkan peranan penting dalam membina kehidupan mampan.

“Kenderaan dan pakaian sera­gam baharu diperkenalkan sebagai salah satu inisiatif syarikat untuk memartabatkan industri pengurusan sisa pepejal, sekali gus menarik minat generasi muda.

“Ini adalah sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar). Pembaharuan yang dibuat menjadikan industri ini lebih profesional dan moden, sekali gus menarik generasi muda me­nyertai Alam Flora, selari dengan aspirasi Malakoff iaitu Enhancing Life. Enriching Communities.

“Semua pihak kini menuju ke arah matlamat pembangunan mampan (SDG) serta nilai amalan beretika sesebuah syarikat yang bertanggungjawab iaitu Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG). Ia jelas selari dengan pelaksanaan dan matlamat kami,” ujarnya.