Nilai jualan sektor pembuatan meningkat RM161.3 bilion

Perniagaan

PETALING JAYA: Nilai jualan sektor pembuatan sebanyak RM161.3 billion pada Oktober 2024, menunjukkan pertumbuhan 3.0 peratus, sedikit melebihi dari kenaikan 2.9 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan itu didorong terutamanya oleh peningkatan kukuh 11.2 peratus dalam subsektor makanan, minuman dan tembakau, selepas kenaikan 5.6 peratus pada September 2024.

Katanya, pertumbuhan turut disokong oleh peningkatan dalam subsektor peralatan elektrik dan elektronik pada 3.2 peratus, serta subsektor mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (4.4 peratus). 

“Berasaskan bulan ke bulan, nilai jualan menyusut sebanyak 0.6 peratus daripada RM162.3 bilion pada September 2024. Nilai jualan industri berorientasikan eksport, yang membentuk 71.5 peratus daripada jumlah nilai jualan pembuatan, mengekalkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 3.0 peratus seperti pada September 2024. 

“Pertumbuhan stabil ini didorong terutamanya oleh prestasi kukuh dalam industri pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (13.7 peratus) dan pembuatan produk getah (11.4 peratus). 

“Bagi perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport mengalami penurunan 2.1 peratus pada Oktober 2024,” katanya dalam kenyataan. 

Mohd. Uzir berkata, industri berorientasikan domestik terus meningkat sebanyak 3.0 peratus (September 2024: 2.5 peratus), dipengaruh terutamanya oleh peningkatan dalam industri pembuatan produk pemprosesan makanan pada 8.1 peratus, lebih baik berbanding 6.9 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya. 

“Tambahan lagi, industri yang berkaitan pembinaan, pembuatan produk logam, kecuali mesin & kelengkapan dan pembuatan produk galian bukan logam lain masing-masing kekal menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan pada 6.1 peratus dan 3.9 peratus. 

“Berbanding bulan sebelumnya, nilai jualan bagi industri berorientasikan domestik melonjak semula kepada 3.5 peratus, memulih dari penurunan 0.7 peratus pada September 2024,” katanya.

Mohd. Uzir menambah, seramai 2.40 juta pekerja terlibat dalam sektor pembuatan pada Oktober 2024, mencatatkan peningkatan sebanyak 0.9 peratus berbanding pertumbuhan 0.8 peratus pada September 2024.-UTUSAN