Allianz Malaysia, UM lancar pusat tadbir urus tangani rasuah

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) dan Universiti Malaya (UM) melancarkan Allianz Centre for Governance (ACFG), sebuah inisiatif strategik untuk menjalankan penyelidikan mengenai tadbir urus dan bidang berkaitan dalam usaha menangani masalah rasuah di Malaysia. 

Ketua Pegawai Eksekutif Serantau Allianz Asia Pasifik, Anusha Thavarajah berkata, inisiatif itu mencerminkan pemahaman Allianz bahawa organisasi besar sepertinya mesti menjadi contoh dan bekerjasama dengan kerajaan, perniagaan, masyarakat sivil dan media untuk mencipta perubahan yang bermakna.

“Pusat tadbir urus ini adalah penting ke hadapan dan misinya jelas dengan melibatkan pemegang kepentingan, memperjuangkan reformasi dan mempromosikan akauntabiliti merentasi sektor,” katanya semasa Majlis Pelancaran Allianz Centre for Governance (ACFG) di sini hari ini.

Jelasnya, rasuah tidak terhad kepada industri tertentu dan sektor insurans juga tidak terkecuali. 

“Sebagai pemberi insurans, perniagaan kami dibina atas asas perlindungan dan kepercayaan. Kami melindungi bukan sahaja pemegang polisi kami tetapi juga integriti sistem dan masyarakat tempat kami beroperasi.  

“Apabila Allianz mengetuai inisiatif seperti ini, kami benar-benar mengotakan apa yang dijanjikan, menunjukkan nilai bersama yang menyatukan kami di seluruh rantau,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia, Sean Wang berkata, dengan pelancaran Allianz Centre for Governance, pihaknya mengambil langkah berani seterusnya dengan menginstitusikan usaha Allianz.

“Penyelesaian yang didorong oleh penyelidikan, berteraskan data dan analisis pakar, jauh lebih berkemungkinan membawa kepada langkah anti rasuah yang berkesan daripada dasar reaktif berdasarkan tekanan politik atau sentimen popular,” katanya. 

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UM, Profesor Dr. Yatimah Alias berkata, tadbir urus yang baik merujuk kepada pelaksanaan tadbir urus berkesan, menangani isu integriti, terutamanya rasuah, ketidakcekapan, salah urus dan penyalahgunaan kuasa dalam organisasi. 

“Saya percaya dengan teguh bahawa tadbir urus yang baik adalah asas untuk membina institusi yang kukuh, sistem yang adil, dan pembangunan yang mampan. 

“Bagi memastikan kesinambungannya, UM komited sepenuhnya untuk mengekalkan pentadbiran yang cekap, berdisiplin, dan berteraskan integriti yang tinggi selaras dengan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kami.

“Dalam hal ini, komitmen UM dicerminkan melalui kewujudan Unit Integriti UM, yang berfungsi sebagai pusat rujukan untuk menguruskan isu-isu berkaitan integriti di UM,” katanya.-UTUSAN