Power Root beli tanah pertanian RM20 juta di Johor

Perniagaan

PETALING JAYA: Power Root Bhd. membeli 3.23 juta hektar tanah pertanian di Johor dengan harga RM19.99 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Power Root berkata, cadangan pengambilalihan itu dijangka mengukuhkan integrasi berterusan kumpulan merentasi keseluruhan rantalan nilai kopi dengan meningkatkan keupayaan huluan mereka.

“Ini mengurangkan pergantungan kepada pembekal luar dan mengurangkan risiko turun naik harga bahan mentah yang berpotensi,” katanya.

Kumpulan itu, menerusi anak syarikat milik penuhnya Power Root Support Services Sdn. Bhd., mengambil alih tanah yang terletak di mukim Sedenak di daerah Kulai, daripada Ree Fong Agriculture Sdn. Bhd.

Power Root berkata, pengambilalihan itu akan dibiayai melalui dana yang dijana secara dalaman atau pembiayaan hutang.

“Pertimbangan pembelian itu ditentukan berdasarkan kerelaan pembeli, penjual, selepas mengambil kira nilai pasaran semasa tanah di kawasan itu dan lokasi tanah itu,” katanya.

Saham Power Root meningkat tiga sen atau 2.04 peratus untuk ditutup pada RM1.50 pada Selasa, memberikan kumpulan itu modal pasaran sebanyak RM632.3 juta. – UTUSAN