Martin Stano ketua jurulatih baharu Sabah FC

Sukan

PETALING JAYA: Sabah FC menamatkan teka teki apabila mengumumkan Martin Stano sebagai ketua jurulatih skuad Sang Badak yang baharu.

Sebelum ini, The Rhinos dikejutkan dengan keputusan Datuk Ong Kim Swee yang menamatkan tugas dan berhijrah ke Liga 1 Indonesia

Posisi yang ditinggalkan Kim Swee digalas oleh Alto Linus sebelum Sabah memilih untuk mengumumkan Stano sebagai ketua jurulatih yang baharu.

Stano yang berasal dari Slovakia sebelum ini merupakan sebahagian daripada barisan kejurulatihan Kim Swee di Sabah dengan mengendalikan latihan kecergasan.

“Sabah FC hari ini (semalam) mengumumkan Martin Stano pemegang Lesen Pro dilantik sebagai Ketua Jurulatih baharu dengan dibantu Penolong Jurulatih, Alto Linus.

“Manakala Muhamadin Abdul Ajid daripada pasukan Sabah FC ll menjadi Jurulatih Kecergasan Sabah FC sehingga tamat musim 2024/2025.

“Sebelum ini, Alto Linus dilantik sebagai Ketua Jurulatih interim bersama-sama Martin Stano sebagai Penolong Jurulatih interim merangkap Jurulatih Kecergasan.

“Pelantikan ini diambil daripada barisan kejurulatihan sedia ada bagi memastikan momentum kemenangan serta pendekatan pasukan seperti latihan, taktikal, metodologi dan analisis video dapat diteruskan dan tidak menjejaskan prestasi pasukan.

“Untuk makluman, MFL (Liga Bolasepak Malaysia) memberikan tempoh sehingga 10 Disember ini untuk Sabah FC melantik Ketua Jurulatih baharu yang memiliki Lesen Pro,” ujar Sabah dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, jurulatih kecergasan berusia 47 tahun itu pernah berkhidmat bersama skuad Malaysia B-23 dan juga skuad utama kini memegang tugasan besar bersama skuad senior Sabah.-UTUSAN