‘Malaysia boleh capai status negara maju seawal 2027’

Perniagaan

GEORGE TOWN : Malaysia boleh mencapai status negara maju antara tahun 2027 hingga 2029 andai Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) dirancang serta dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, sasaran terbaharu itu dibuat mengikut unjuran dengan pertumbuhan terkini serta kadar mata wang pada peringkat sekarang.

“Mengikut unjuran itu, kita akan menjadi negara berpendapatan tinggi iaitu ukuran untuk menjadi negara maju seawal 2027.

“Unjuran yang lebih praktikal adalah 2028 dan kalau terlajak sedikit pun, saya ingat dalam 2029, kita akan menjadi negara maju,” katanya ketika berucap dalam sesi libat urus RMK13 yang turut dihadiri oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di Pusat Konvensyen Spice Arena di sini, hari ini.

Sesi libat urus RMK13 bersama kerajaan negeri itu dianggap penting memandangkan Pulau Pinang ketika ini adalah antara penyumbang eksport terbesar negara.

Menurut Rafizi lagi, pertumbuhan ekonomi mampan iaitu pada kadar 4 hingga 5 peratus adalah kritikal bagi memastikan negara dapat menyesuaikan diri dengan status negara maju.

“Apabila menjadi negara maju, pertumbuhan ekonomi selalunya lebih perlahan, sekitar 2 peratus hingga 3 peratus (sahaja). Oleh itu, Malaysia perlu mencipta enjin pertumbuhan baharu yang lebih dinamik agar kita dapat mengekalkan momentum pada kadar yang lebih tinggi,” katanya.

Dalam pada itu itu, ketika sidang akhbar, Rafizi menambah, status negara maju adalah sesuatu dinamik dan ia bergantung kepada pertumbuhan ekonomi negara serta pertumbuhan ekonomi dunia.

“Contohnya, kalau negara lain tumbuh dengan lebih cepat, jadi, garisnya jadi makin jauh dan garis itu bertukar tiap-tiap tahun. Jadi, sebab itu kita dulu dah dekat (status negara maju) tetapi, kita kena tinggal sikit. Ada, dah dekat, kena tinggal sikit.

“Tetapi, kalau kita ambil contoh pertumbuhan ekonomi dunia dalam 3 peratus, kemudian kita tumbuh dalam 5 peratus dan kadar tukaran RM4 ke atas berbanding dolar, sebab itu unjurannya ialah 2027 ke 2028.

“Tapi, kalau contohnya ekonomi dunia tumbuh 4 peratus dan kita tumbuh 3 peratus sahaja, jurang itu akan melebar sebab penting untuk kita kekalkan momentum secara berterusan agar kita akan terus berada lebih atas daripada pertumbuhan ekonomi dunia,” katanya.-UTUSAN