Stadium SNBJ ‘sunyi sepi’

Sukan

KUALA LUMPUR: Perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang biasanya riuh dengan kehadiran puluhan ribu penyokong Harimau Malaya sebelum mana-mana perlawanan kelihatan ‘sunyi’ menjelang aksi menentang Timor Leste, malam ini.

Tinjauan yang dilakukan pada pukul 7 malam di perkarangan SBJN mendapati, persekitaran stadium agak lengang malah jumlah peniaga agak kurang berbanding kebiasaan ketika ada perlawanan membabitkan Harimau Malaya.

Difahamkan, setakat pukul 6 petang tadi, sebanyak 4,000 keping tiket telah terjual bagi aksi Harimau Malaya menentang Timor Leste, malam ini yang juga perlawanan kedua bagi kedua-dua pasukan dalam kempen Piala ASEAN 2024.

Faktor hujan pada sebelah petang selain perlawanan yang berlangsung pada hari bekerja mungkin merencatkan hasrat penyokong meskipun Selangor menikmati hari cuti susulan Hari Keputeraan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Situasi itu diakui penyokong setia Harimau Malaya, M Kamal Hassan, 58, namun dia optimis kehadiran penyokong dijangka meningkat pada perlawanan menentang Singapura pada 20 Disember ini.

“Mungkin lengang kerana perlawanan berlangsung pada hari bekerja dan juga lawan Malaysia yang kurang mencabar iaitu Timor Leste.

“Tetapi kalau perlawanan menentang Singapura nanti menjadi penentu ke separuh akhir, mungkin suasana akan berubah,” katanya yang hadir bersama isterinya, Faizah Mohd Deli, 53.-UTUSAN