PETALING JAYA: Kegagalan memanfaatkan peluang sepenuhnya menjadi punca kekalahan beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah pada aksi pembukaan Kumpulan A Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 di Hangzhou, China, semalam.
Pasangan No. 6 dunia itu tewas kepada gandingan Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida 21-13, 17-21, 18-21 sekali gus menyaksikan mereka gagal melepasi badi kekalahan kepada beregu itu susulan hanya memenangi satu daripada 12 pertemuan setakat ini.
Thinaah berkata, beliau bersama Pearly tidak menggunakan peluang yang ada menyebabkan pasangan Jepun itu bangkit untuk mengatasi mereka dalam perlawanan berkenaan.
“Saya rasa lebih baik untuk kembali ke gelanggang, namun bukan mudah untuk menentang mereka (Matsuyama-Shida). Saya fikir perlawanan hari ini(semalam) kami mempunyai beberapa kelebihan tetapi kami tidak menggunakan sepenuhnya.
“Saya fikir semasa set pertama, kami bermain mempamerkan corak permainan cukup baik. Kami turut mendahului pada set kedua namun kami tidak dapat menahan momentum permainan dan mereka memberi tekanan kepada kami.
“Kekalahan ini memberi satu pengajaran kepada kami untuk bersedia pada perlawanan seterusnya,” kata Thinaah.
Pearly-Thinaah kini berdepan dengan misi wajib menang pada aksi kedua Kumpulan A menentang pasangan India, Treesa Jolly-Gayatri Gopichand, hari ini untuk mengekalkan peluang mereka mara ke separuh akhir.
Untuk rekod, kali terakhir pasangan Malaysia itu menewaskan Matsuyama-Shida adalah pada suku akhir Terbuka Perancis 2022 lalu.-UTUSAN