KUALA LUMPUR: Harimau Malaya bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Timor Leste 3-2 dalam perlawanan kedua Piala ASEAN 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), sebentar tadi.
Kemenangan anak-anak buah Pau Marti Vicente itu tidak datang dengan mudah selepas Timor Leste yang berada diranking ke-196 dunia berjaya mendahului Harimau Malaya 2-1 pada babak pertama.
Dalam aksi itu, tempoh 30 minit pertama perlawanan menyaksikan Harimau Malaya bergelut untuk mempamerkan aksi terbaik apabila segala pergerakan yang direncanakan tidak menjadi.
Bagaimanapun, Harimau Malaya terlebih dahulu berada dihadapan menerusi Syafiq Ahmad pada minit ke-37 selepas menyudahkan umpanan daripada Fergus Tierney.
Kegembiraan skuad negara meraih gol pembukaan tidak bertahan lama apabila Timor Leste berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-46 menerusi Olagar Xavier hasil serangan balas pantas.
Gol itu bagaikan mencetus semangat Timor Leste apabila pasukan pelawat meraih gol pendahuluan menerusi bola lencongan menarik Joao Pedro pada minit ke-48 juga menerusi serangan balas.
Bersambung babak kedua, Harimau Malaya melakukan pertukaran dengan membawa masuk Endrik Dos Santos, Haqimi Azim Rosli, Fazrul Amir Zaman dan Stuart Wilkin untuk bangkit dalam perlawanan.
Percaturan itu membuahkan hasil apabila Harimau Malaya berjaya meledak gol penyamaan pada minit ke-68 menerusi rembatan Paolo Josue dari dalam kotak penalti.
Pada minit ke-82, Josue meledak gol ketiga Harimau Malaya untuk menjadikan kedudukan 3-2 selepas penyerang Kuala Lumpur (KL) City itu memanfaatkan keadaan kelam kabut di depan pintu gawang Timor Leste.
Selepas itu, Harimau Malaya berpeluang untuk menambah jaringan menerusi dua percubaan Josue namun tandukan dan rembatan kapten KL City itu sedikit tersasar.
Perlawanan berakhir dengan keputusan 3-2 untuk Malaysia meraih kemenangan pertama dalam aksi Kumpulan A selepas sekadar seri 2-2 dengan Kemboja pada aksi pembukaan Piala ASEAN 2024 pada Ahad lalu.
Harimau Malaya akan berdepan Thailand pada Sabtu ini di gelanggan lawan dalam perlawanan ketiga dan akan bertemu Singapura pada 20 Disember dalam perlawanan keempat di SNBJ- UTUSAN