Young Tigress berpesta gol, benam Bangladesh 6-1

Sukan

PETALING JAYA: Pasukan hoki remaja wanita kebangsaan kembali menghidupkan peluang mara ke separuh akhir Piala Remaja Asia Wanita 2024 selepas membenam Bangladesh 6-1 di Muscat, Oman, malam tadi.

Kemenangan itu hadir selepas skuad kendalian Lailin Abu Hassan bangkit dari kekalahan besar 5-0 kepada juara bertahan, India, Isnin lalu.

Young Tigress tidak menunggu lama untuk membuka jaringan seawal minit kelapan menerusi pukulan sudut penalti Zati Alyani Muhammad Zubir.

Bangladesh cuba bangkit, tetapi dua lagi gol daripada Zati Alyani pada minit ke-30 dan 41 menutup usaha mereka.

Nur Iman Adawiyah Mohd Suhaimi dan Nurshamine Azureen Mohammed Badusha masing-masing menambah gol pada minit ke-44 dan 45.

Bangladesh meraih gol saguhati menerusi pukulan sudut penalti Orpita Pal pada minit ke-49.

Noor Asyiqin Syakirah Noor Hisyam melengkapkan kemenangan Malaysia dengan jaringan pada minit ke-53.

Malaysia kini di carta ketiga Kumpulan A dengan enam mata dan dijadual berdepan ujian sukar menentang China malam ini. – UTUSAN