TP TEC catat premium 30% dalam penampilan sulung di Pasaran LEAP

Perniagaan

PETALING JAYA: TP TEC Holding Berhad (TP TEC Holding), mula disenaraikan di Pasaran LEAP Bursa Malaysia Securities Bhd. semalam, dengan mencatatkan premium tiga sen atau 30 peratus apabila dibuka pada 13 sen sesaham berbanding dengan harga rujukan 10 sen.

Kira-kira 5,000 saham didagangkan semasa pembukaan dan syarikat kini mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM25 juta.

Menurut kenyataan, penyenaraian itu dilakukan melalui cara pengenalan, tanpa penerbitan saham baharu atau pengumpulan dana tambahan.

“Bagaimanapun, sebelum penyenaraian, TP TEC Holding telah berjaya mengumpul RM2.50 juta menerusi langganan saham secara peribadi pada Ogos 2024.

“Sebanyak 60 peratus hasil daripada langkah ini akan digunakan untuk memperluaskan armada penjana tenaga Syarikat, manakala baki 40 peratus akan digunakan untuk menampung kos penyenaraian.

“Penyenaraian itu merupakan pencapaian penting dalam strategi pengembangan syarikat, membolehkannya memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat terhadap penyelesaian tenaga.

“Ini berikutan aliran pelaburan ke dalam sambungan 5G, pusat data, dan infrastruktur berskala besar di Malaysia,” katanya.

Pengarah Urusan TP TEC Holding, Lau Poh Keong berkata, penyenaraian itu membuktikan kekuatan model perniagaan dan komitmen syarikat untuk menyediakan penyelesaian tenaga dan peralatan yang inovatif, boleh dipercayai, dan mampan.

“Langkah ini bukan sahaja meningkatkan profil korporat kami, malah memposisikan kami untuk memanfaatkan pasaran modal bagi pertumbuhan masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TP TEC Holding, Eric Chew berkata, penyenaraian itu hadir pada waktu yang penuh dengan peluang untuk syarikat.

“Penyelesaian tenaga khusus kami memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan sambungan dan infrastruktur, terutamanya di kawasan terpencil, luar bandar dan lokasi luar grid.

“Dengan pelaksanaan pantas 5G dan projek Jalinan Digital Negara (JENDELA), peningkatan pelaburan ke dalam pusat data di seluruh negara, serta pembangunan berterusan projek infrastruktur utama, kami bersedia memenuhi permintaan terhadap penyelesaian tenaga yang cekap dan boleh skala,” katanya. – UTUSAN