Perdagangan borong, runcit cecah RM150 bilion pada Oktober

Perniagaan

PETALING JAYA: Sektor perdagangan borong dan runcit Malaysia melakarkan rekod baharu pada Oktober 2024 apabila mencatat nilai jualan RM150.1 bilion, dengan peningkatan 5.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan ini melebihi 5.0 peratus kenaikan pada September, memberi isyarat daya tahan sektor itu dalam persekitaran ekonomi yang stabil.

Katanya, lonjakan dalam jualan didorong oleh prestasi kukuh merentas subsektor perdagangan runcit, perdagangan borong dan kenderaan bermotor.

“Perdagangan runcit mendahului carta, meningkat 7.1 peratus kepada RM64.9 bilion manakala perdagangan borong menyumbang RM66.3 bilion, dengan kenaikan 4.8 peratus.

“Subsektor kenderaan bermotor juga menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang positif, dengan pertumbuhan 2.7 peratus kepada RM18.9 bilion,” menurutnya dalam kenyataan.

Beliau berkata, perdagangan runcit telah menunjukkan daya tahan yang luar biasa, didorong oleh pertumbuhan menyeluruh merentas segmennya.

“Jualan runcit di kedai bukan pengkhususan meningkat 8.5 peratus manakala jualan runcit makanan, minuman dan tembakau melonjak 9.0 peratus, menterjemah perbelanjaan pengguna yang kukuh semasa musim perayaan.

“Angka pertumbuhan Oktober turut dipengaruhi oleh faktor bermusim seperti sambutan Deepavali, cuti sekolah dan penganjuran acara seperti siri jelajah jualan Mega Agro MADANI, yang menyumbang kepada peningkatan trafik dan jualan,” ujarnya.

Menurutnya, perdagangan borong turut menunjukkan prestasi kukuh, dengan kenaikan ketara daripada jualan borong makanan, minuman dan tembakau, naik 8.9 peratus, di samping perolehan dalam jualan borong jentera, peralatan dan bekalan (naik 8.3 peratus) dan jualan borong bahan mentah, pertanian dan haiwan hidup (menokok 7.9 peratus).

“Subsektor perdagangan borong terus menjadi tunjang ekonomi, didorong oleh peningkatan permintaan untuk barangan keperluan dan barangan bernilai tinggi,” katanya. – UTUSAN