SHAH ALAM: Anugerah Kilang Pintar Malaysia (MSMA 2025), yang diterajui oleh Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), Bizsphere Sdn. Bhd., dan Smart4wrd menyasarkan menarik sekurang-kurangnya 100 syarikat untuk menyertai nominasi anugerah itu tahun hadapan, bagi menyokong pembangunan kilang pintar tempatan.
Bertemakan “Kilang Pintar, Masa Depan yang Teguh”, MSMA 2025 selaras dengan Pelan Induk Industri Baharu Malaysia (NIMP 2030) untuk memodenkan 3,000 kilang dan mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi.
MSMA 2025 memberi pengiktirafan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang telah mencapai kemajuan dalam pembuatan pintar, menawarkan pengiktirafan nasional, peluang perniagaan, dan akses kepada sumber seperti program Future Ready Financing (FRF) dari MIDF.
Naib Presiden, Jabatan Promosi Perniagaan & Pengurusan Geran, Fadzlan Abu Bakar, nominasi untuk MSMA 2025 akan dibuka pada 15 Januari, dengan pemenang dijangka diumumkan pada September 2025.
“Inisiatif ini disokong oleh Kementerian Pelaburan Perdagangan dan Industri (MITI) dengan matlamat utama mengenal pasti amalan terbaik syarikat tempatan dalam mencapai status kilang pintar.
“Anugerah ini pada tahun depan akan terus menyasarkan syarikat tempatan yang terbaik.
“Kami akan menerima pencalonan baharu dan mencari syarikat Malaysia yang mampu mencapai tahap kilang pintar,” katanya kepada pemberita semasa sesi taklimat Anugerah Kilang Pintar Malaysia 2025 di sini, semalam.
Sementara itu, Perunding Pengurusan Bizsphere, Yap Keng Teck berkata, dengan tema yang dipilih akan menumpukan kepada meningkatkan daya saing perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di arena global.
“Anugerah MSMA 2025 dijangka menjadi pemacu utama dalam mendorong inovasi dan daya saing dalam kalangan syarikat pembuatan tempatan, menjadikan mereka lebih bersedia menghadapi cabaran ekonomi global.
“MSMA 2025 juga merupakan platform strategik untuk mengenal pasti dan menyokong kilang-kilang yang bergerak ke arah digitalisasi dan automasi.
“Bagi menyokong penyertaan syarikat, program ini akan menawarkan bantuan menyeluruh melibatkan kewangan, teknologi, latihan, dan pembangunan kemahiran.
“Kerjasama erat dengan SIRIM, dan rakan-rakan industri lain akan memastikan PKS mendapat akses kepada sumber yang diperlukan untuk melengkapkan perjalanan transformasi mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Pengurusan Perniagaan Baharu Kumpulan Pemasaran SIRIM, Muhammad Firas Abdul Fattah berkata, pelaksanaan Smart Tech Up melalui MSMA 2025, sebuah inisiatif awal telah melibatkan 30 syarikat dalam fasa pertama.
Beliau juga menegaskan bahawa MSMA menawarkan penyelesaian menyeluruh kepada PKS, termasuk penilaian, penyelidikan dan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) , dan sokongan teknologi.
“Melalui MSMA 2025, diharapkan Malaysia dapat memperkukuhkan kedudukan sebagai pemain utama dalam sektor pembuatan global, dengan PKS sebagai tulang belakang kepada ekonomi negara.
“Kami menyeru lebih banyak syarikat tempatan untuk menyertai nominasi dan merebut peluang ini untuk maju ke peringkat lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN