Young Tigress gagal ke separuh akhir Piala Remaja Asia

Sukan

PETALING JAYA: Pasukan hoki wanita remaja kebangsaan gagal meluaskan kemaraan ke separuh akhir Piala Remaja Asia Wanita 2024 di Muscat, Oman apabila tewas kepada China 4-0, sebentar tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Oman itu, China mudah menembusi bentenv pertahanan Young Tigress apabila membuka jaringan seawal minit kempat menerusi gol padang Hao Guoting.

Guoting kemudian meledak gol kedua beliau untuk memastikan China mendahului dua jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.

Babak kedua tampaknya Young Tigress gagal menyempurnakan strategi baharu apabila Lei Jiajing meledak jaringan ketiga buat China.

Masa semakin suntuk, Young Tigress semakin kehilangan idea dan Tan Jinzhuang memanfaatkan peluangnya untuk menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-54.

Perjuangan Young Tigress belum tamat apabila diklasifikasikan penentuan tempat kelima dan keenam bertemu Hong Kong pada Sabtu.

Malaysia harus memanfaatkan peluang bagi merebut slot terakhir bagi melayakkan diri ke Piala Dunia Wanita di Chile pada 2025.

Mengikut format kejohanan, hanya lima pasukan terbaik Asia bakal berentap di kejohanan dunia berkenaan. – UTUSAN