Malaysia tempah slot separuh akhir Skuasy Dunia

Sukan

PETALING JAYA: Malaysia mara ke separuh akhir selepas mengejutkan pilihan keempat England 2-0 pada peringkat lapan terbaik Kejohanan Skuasy Berpasukan Dunia di Hong Kong, semalam.

Pertaruhan berani skuad wanita negara menurunkan pemain berusia 20 tahun, Aira Azman ternyata membuahkan hasil apabila dia meletakkan Malaysia mendahului England 1-0.

Pemain yang menghuni ranking No. 31 dunia itu menundukkan Lucy Beecroft yang berada di tangga ke-33 dunia dalam pertarungan empat set 5-11, 13-11, 11-7, 11-6 yang mengambil masa selama 39 minit.

S. Sivasangari yang turun ke gelanggang sejurus selepas itu memastikan kemenangan mutlak menjadi milik Malaysia apabila bintang No. 10 dunia itu menyingkirkan pemain ke-20 dunia, Sarah-Jane Perry 4-11, 11-7, 11-8, 11-6 dalam masa 40 minit.

Anak jati Kedah itu ketika ditemu bual selepas perlawanan berkata, dia bersyukur dapat membantu Malaysia mencatat kemenangan dalam empat set.

“Saya terpaksa mengharungi persaingan yang sukar pada set pertama, tetapi, saya tahu dalam setiap permainan pasti ada masanya kita beraksi buruk ataupun baik.

“Saya hanya fokus mata demi mata dan gembira akhirnya dapat meraih kemenangan,” katanya.

Pemain berusia 25 tahun itu memberitahu, kemenangan Aira yang terlebih dahulu masuk ke dalam gelanggang amat penting untuk membantu rakan sepasukan yang lain.

“Pemain pertama selalunya memainkan peranan besar, jadi, keputusan yang dicatat Aira telah memberi keyakinan kepada saya untuk bekerja lebih keras,” ujarnya.

Pada separuh akhir, hari ini, Malaysia akan berdepan sama ada pilihan kedua, Amerika Syarikat ataupun India.-UTUSAN