KWAP iktiraf pesara awam dalam Anugerah MyPesara 2024

Perniagaan

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) terus mengiktiraf pesara sektor awam yang aktif menyumbang kepada masyarakat melalui Anugerah MyPesara 2024 yang kini memasuki tahun ketiga.

Anugerah peringkat perdana yang dianjurkan khas bagi mengiktiraf dan menghargai pesara sektor awam yang terus berkhidmat dan memberi impak positif dalam bidang keusahawanan, pendidikan serta sosial dan khidmat masyarakat.

Ketua Pegawai Perkhidmatan Persaraan KWAP, Zarina Halim berkata, KWAP bukan sahaja memberi pengiktirafan kepada sumbangan mereka, tetapi juga memperkukuh semangat keprihatinan terhadap golongan pesara yang telah memainkan peranan besar dalam pembangunan negara.

Katanya, usaha ini selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang inklusif dan harmoni, iaitu pesara terus diberi sokongan untuk menjalani kehidupan yang bermakna dan produktif di alam persaraan.

“Inisiatif ini juga berperanan penting dalam menempuhi cabaran ‘ageing nation’, dengan menjadi platform untuk menggalakkan golongan pesara kekal aktif dalam komuniti, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan sosial mereka secara menyeluruh, mencerminkan
salah satu teras Malaysia Madani yang amat dititikberatkan, iaitu ‘kesejahteraan’.

“Kejayaan dan dedikasi semua pemenang Anugerah MyPesara tahun ini adalah pencapaian yang sangat membanggakan, bukan sahaja kepada KWAP, tetapi juga kepada negara,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, pesara sektor awam adalah aset yang amat bernilai dan melalui Anugerah MyPesara, KWAP berhasrat untuk menyampaikan mesej penting bahawa khidmat kepada negara tidak terhenti setelah bersara.

Pada tahun ini, KWAP telah menerima hampir 100 penyertaan daripada para pesara kerajaan di seluruh negara dan seramai 18 pemenang telah diumumkan dengan jumlah pemenang yang sama daripada kedua-dua kumpulan pelaksana dan pengurusan.

Bagi setiap kategori yang dipertandingkan, seorang pemenang telah dipilih manakala lima orang lagi merupakan penerima hadiah saguhati.

“Pemenang hadiah utama pula telah dipilih daripada salah seorang pemenang kategori. Mazlan Hashim, pemenang bagi kategori Sosial dan Khidmat Masyarakat telah dinobatkan sebagai pemenang hadiah utama Anugerah MyPesara 2024.

“Beliau yang merupakan pesara daripada kumpulan pelaksana aktif dalam menggerakkan industri seni bela diri dan seni warisan tempatan melalui penghasilan dokumentari serta karya seni tradisional yang mempromosikan warisan kebudayaan Pahang,” ujarnya.

Sementara itu, pemenang bagi kategori Pendidikan telah diberikan kepada Mohamed Soder Rahmad, manakala Dr. Mohmad Mustafa pula telah diumumkan sebagai pemenang bagi kategori Keusahawanan.

Pemenang utama Anugerah MyPesara telah membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000, trofi serta sijil penghargaan.

Sementara itu, pemenang bagi setiap kategori pula telah menerima wang tunai sebanyak RM10,000, trofi dan sijil penghargaan setiap seorang manakala wang tunai sebanyak RM3,000, trofi dan sijil penghargaan diberikan kepada semua penerima hadiah saguhati bagi setiap kategori. – UTUSAN